
KOTA BHARU 14 Jun – Jabatan Penyiaran Negeri Kelantan (RTM Kelantan) mengungguli malam Anugerah Media Kelantan (AMK) sempena Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) peringkat Negeri Kelantan 2026 anjuran kerajaan Negeri melalui Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN), pada Sabtu.
- Mohd Azli Yusof meraih tempat pertama kategori Visual TV Terbaik menerusi karya "Desa Gemalai Destinasi Wajib Dikunjungi".
- KELANTANfm menyapu bersih kategori Penyampai Radio Kerajaan Terbaik: Suhaila Mat Daud juara, Mohd Azidi kedua, Nor Shazleza ketiga.
- Semua pemenang menerima hadiah wang tunai dan plak penghargaan sebagai pengiktirafan kejayaan mereka.
Jurukamera RTM Kelantan Mohd Azli Yusof memenangi tempat pertama kategori Visual TV Terbaik menerusi karya Desa Gemalai Destinasi Wajib Dikunjungi Buat Pencinta Keindahan Alam Semula Jadi, manakala Amran Abd Rahman pula memenangi tempat kedua kategori sama menerusi karya UMK Perluas Peranan IPT, Platform Sukan Ekstrem.
Bagi kategori Berita TV Terbaik, wartawan Muhammad Ameerul Hafiz Rosli memenangi tempat kedua menerusi laporan Pengorbanan Wira Merah Hadapi Bah Putih.
Kejayaan lebih cemerlang apabila penyampai KELANTANfm menyapu bersih Kategori Penyampai Radio Kerajaan Terbaik.
Suhaila Mat Daud atau DJ Sue memenagi tempat pertama kategori itu menerusi karya Kelantan Diiktiraf Negeri Mampan manakala Mohd Azidi Abdullah (DJ Azidi) memenangi tempat kedua menerusi karya Destinasi Pelancongan Kelantan Pulau Suri.
Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Nor Shazleza Shahril (DJ Leez) menerusi karya Kebersihan Pilihan Utama, sekali gus melengkapkan malam penuh gemilang radio nombor satu masyarakat negeri itu.
Semua pemenang membawa pulang hadiah wang tunai dan plak penghargaan.