Kementerian Komunikasi sasar lebih ramai bakat kejuruteraan prompt

Datuk Fahmi Fadzil/ BERNAMA

KUALA PILAH, 13 Jun – Kementerian Komunikasi berhasrat melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang kejuruteraan prompt atau prompt engineering bagi memperkasa pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rangkaian NADI digerakkan untuk memberi latihan kemahiran kejuruteraan prompt kepada masyarakat, terutamanya golongan muda dan lepasan SPM.
  • Kemahiran menghasilkan arahan prompt yang tepat diperlukan untuk menghasilkan output AI berkualiti, bukan sekadar bergantung kepada aplikasi siap guna.
  • Hasil AI perlu disemak manusia; penggunaan membuta tuli boleh menyebabkan kesilapan dan maklumat tidak tepat.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi rangkaian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara bagi memastikan masyarakat, khususnya golongan muda, mempunyai pengetahuan dan kemahiran menggunakan AI secara berkesan.

Penggunaan AI bukan sekadar bergantung kepada teknologi semata-mata, sebaliknya memerlukan kemahiran menghasilkan arahan atau prompt yang tepat dan terperinci bagi memperoleh hasil lebih berkualiti serta memenuhi kehendak pengguna.

“Kita tidak mahu hanya menjadi pengguna kepada aplikasi seperti Canva, sebaliknya kita mahu anak-anak, khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), memiliki keupayaan serta kemahiran yang diperlukan dengan sokongan internet yang laju.

“Kemahiran ini penting untuk melahirkan mereka yang mampu menjadi jurutera AI prompt engineering serta pembina aplikasi kecerdasan buatan (AI) untuk kegunaan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau program AI@Nadi di Nadi Seri Menanti di sini hari ini.

Dalam pada itu pengguna juga perlu memahami bahawa AI tidak boleh digunakan secara membuta tuli kerana setiap hasil yang dijana masih memerlukan semakan dan penilaian manusia bagi mengelakkan kesilapan atau maklumat tidak tepat.

Ketika ini kesemua NADI di seluruh negara digalakkan melahirkan sekurang-kurangnya seorang individu yang berkemahiran dalam kejuruteraan prompt, sekali gus berupaya membangunkan aplikasi AI tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada teknologi dari luar negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.