
SIPITANG, 13 Jun – Pelaksanaan projek grid tenaga elektrik Sabah Southern MADANI Link (SSML) membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memastikan agenda pembangunan dan kemudahan asas dapat dinikmati rakyat di kawasan pedalaman Sabah.
- Memperkukuh rangkaian grid Sabah dan meningkatkan keselamatan bekalan elektrik negeri.
- Membuka ruang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup masyarakat di kawasan terpencil.
- Menjadi simbol dasar Malaysia MADANI serta menekankan manfaat pembangunan mesti sampai ke seluruh pelosok negeri.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek berkenaan bukan sahaja memastikan bekalan elektrik lebih stabil, malah membuka ruang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan terpencil.
“Projek ini menjadi simbol kesungguhan kerajaan membawa manfaat pembangunan sehingga ke kawasan paling terpencil. Ia selaras dengan dasar Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan adil dan saksama, tanpa memfokuskan kemajuan hanya di kawasan bandar utama.
“Projek ini bukan kecil maknannya ia menembusi hutan belentara di selatan Sabah tetapi ia berikan ruang makna pembangunan dalam negara MADANI yang adil kita boleh tumpu dalam isu memacu pertumbuhan yang segar.
“Tapi kita tahu selagi manfaatnya tidak sampai ke seluruh pelusuk negeri dari kota yang rancak pembangunannya ke pelusuk daerah yang paling terpencil makna pembangunan itu tentunya tidak memberi kesan kepada rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek SSML di Kompleks Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah, di sini.
Datuk Seri Anwar turut menegaskan, ia merupakan projek strategik yang akan memperkukuh rangkaian grid Sabah. Selain meningkatkan keselamatan bekalan elektrik negeri.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor atas kerjasama erat bersama Kerajaan Persekutuan bagi memastikan agenda pembangunan rakyat dilaksana secara berkesan.
“Kestabilan politik negara amat penting bagi menarik pelabur asing dan memastikan pembangunan ekonomi dapat diteruskan khususnya dalam sektor tenaga yang kini berdepan cabaran global,” katanya.