
LOS ANGELES, 13 Jun – Legenda bola sepak England, Sir David Beckham, menerima penghormatan berprestij apabila dianugerahkan bintang di Hollywood Walk of Fame ketika Amerika Syarikat (AS) menjadi tuan rumah perlawanan pembukaan Piala Dunia 2026.
- Acara disempurnakan Ellen K dengan tetamu termasuk Tom Cruise dan isteri Beckham, Victoria Beckham.
- Tom Cruise memuji perjalanan Beckham sebagai kisah Hollywood, menekankan usaha, disiplin dan pengaruh globalnya.
- Beckham tersentuh, mengenang perjalanan dari East London dan kritikan ketika menyertai LA Galaxy pada 2007.
- Dikenali dengan hantaran tepat dan sepakan silang, beliau kekal figura antarabangsa melalui perniagaan dan kerjasama jenama.
Acara berkenaan disempurnakan oleh pengacara radio, Ellen K, yang memperkenalkan beberapa tetamu jemputan termasuk aktor terkenal Tom Cruise serta isteri Beckham, Victoria Beckham.
Cruise menyifatkan perjalanan Beckham sebagai kisah Hollywood sebenar yang penuh usaha, disiplin dan pengaruh besar terhadap sukan serta budaya global.
Victoria Beckham pula berkata, pengiktirafan itu hadir pada masa yang amat bermakna, ketika bola sepak semakin berkembang pesat di AS.
Dalam ucapannya, Beckham menyifatkan detik tersebut sebagai sesuatu yang “tidak masuk akal” dan penuh emosi, di samping mengenang perjalanan hidupnya dari East London yang hanya bermimpi untuk menjadi pemain bola sepak profesional.
Beliau turut mengimbau kritikan yang pernah diterimanya ketika menyertai LA Galaxy pada 2007, apabila ramai mempersoalkan kehadiran bola sepak di AS ketika itu.
Kini, Beckham yang juga presiden dan pemilik bersama Inter Miami CF berkata, beliau berbangga melihat perkembangan pesat sukan itu di negara berkenaan.
Sepanjang karier lebih dua dekad, Beckham pernah beraksi bersama kelab-kelab ternama dunia termasuk Manchester United, Real Madrid, AC Milan, LA Galaxy dan Paris Saint-Germain.
Dikenali dengan hantaran tepat dan sepakan silang berkelas dunia, beliau dianggap antara pemain terbaik generasinya serta mempunyai pengaruh besar dalam sukan dan budaya popular global.
Sejak bersara pada 2013, Beckham terus kekal sebagai figura antarabangsa melalui pelbagai kerjasama jenama global serta penglibatan dalam dunia perniagaan dan media. -Reuters