Objek menyerupai pistol ditemukan dalam MPV terlibat kemalangan maut

Satu objek menyerupai pistol ditemui di dalam sebuah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Lencongan Barat, Laguna Merbok / Foto orang awam

SUNGAI PETANI, 12 Jun – Dua lelaki ditahan selepas polis menemukan satu objek menyerupai pistol di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Lencongan Barat, Laguna Merbok, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemalangan antara MPV dan motosikal di Jalan Lencongan Barat mengakibatkan penunggang motosikal berusia 67 tahun mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
  • Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah.
  • Pemandu ada 17 rekod lampau termasuk 16 kes narkotik, penumpang mempunyai tujuh rekod berkaitan kes narkotik.
  • Kedua-dua lelaki direman empat hari; kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 41(1), 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, MPV yang dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun bersama penumpang berusia 35 tahun terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal yang ditunggang seorang warga emas berusia 67 tahun.

Beliau berkata kemalangan tersebut mengakibatkan penunggang motosikal yang beralamat di Taman Ria, Sungai Petani mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah.

Siasatan lanjut turut mendapati pemandu MPV itu mempunyai 17 rekod lampau membabitkan 16 kes narkotik dan satu kes jenayah, manakala penumpang mempunyai tujuh rekod berkaitan kes narkotik.

Kedua-dua lelaki terbabit direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 41(1) dan Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, beberapa video berhubung kejadian tersebut tular di media sosial, memaparkan kekecohan melibatkan orang awam yang tidak berpuas hati dengan dua lelaki berkenaan sehingga ketika mereka dibawa masuk ke ambulans.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.