Polis buru pemandu treler terlibat kemalangan maut

Seorang penunggang motosikal maut di Jalan Titi Karangan–Baling dipercayai dilanggar treler / Foto orang awam

KULIM, 12 Jun – Polis sedang mengesan pemandu sebuah treler yang dipercayai terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Jalan Titi Karangan–Baling petang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan awal mendapati kenderaan terlibat masih belum dikenal pasti.
  • Saksi berkata kenderaan dipercayai treler dengan bahagian hadapan kuning dan bahagian belakang biru.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; orang ramai diminta hubungi IPD Kulim atau Inspektor Nurzety.

Ketua Polis Daerah Kulim, Syamsul Sinring berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai membabitkan sebuah kenderaan yang masih belum dikenal pasti.

Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Berdasarkan keterangan saksi, kenderaan terlibat dipercayai sebuah treler dengan bahagian hadapan berwarna kuning dan bahagian belakangnya biru.

Beliau berkata, polis kini giat mengesan pemandu kenderaan terbabit serta saksi-saksi lain bagi membantu siasatan.

Katanya, setakat ini polis masih belum menerima sebarang laporan daripada pemandu kenderaan tersebut berhubung kejadian berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim atau pegawai penyiasat, Inspektor Nurzety Adawiyah Muhamad, bagi membantu siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.