SME Bank perkasa hampir 1,000 usahawan asnaf jana RM40 juta

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank Malaysia Berhad) berjaya memperkasa hampir 1,000 usahawan asnaf di seluruh negara menerusi program iTEKAD ISHRAF.

RINGKASAN BERITA AI
  • SME Bank memperkasa hampir 1,000 usahawan asnaf melalui program iTEKAD ISHRAF.
  • Program menjana kira-kira RM40 juta dan mewujudkan 410 peluang pekerjaan.
  • Usaha ini bertujuan alihkan asnaf dari penerima zakat ke pembayar zakat, kukuhkan kitaran ekonomi Islam.
  • Kerjasama KUSKOP, JPM, Majlis Agama Negeri dan rakan strategik; 2025 hingga 2026 peruntukan RM9 juta untuk 420 usahawan.

Program itu turut berjaya menjana pendapatan kira-kira RM40 juta serta mewujudkan 410 peluang pekerjaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan berkata, usaha memperkasa golongan asnaf melalui keusahawanan penting bagi memastikan mereka beralih daripada penerima zakat kepada pembayar zakat pada masa hadapan.

“Selain bantuan berbentuk sumbangan dan pendidikan bulanan, kerajaan melihat keperluan untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan asnaf.

“Golongan usahawan ini berpotensi untuk beralih daripada penerima zakat kepada pembayar zakat, sekali gus mewujudkan kitaran ekonomi yang lebih mampan.

“Apabila mereka menjadi pembayar zakat, usaha memperkasa lebih ramai usahawan dapat diperluaskan lagi, selaras dengan matlamat memperkukuh ekonomi Islam secara menyeluruh,” katanya ketika majlis graduasi SME Bank iTEKAD ISHRAF 4.0 di ibu negara hari ini.

Kejayaan kohort keempat hasil kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Majlis Agama Islam Negeri dan rakan strategik itu menandakan kesinambungan peluasan program ke seluruh negara.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Samad Majid Zain berkata, program berkenaan membuktikan kewangan sosial Islam mampu memberi impak berpanjangan dalam memperkukuh keupayaan keusahawanan asnaf.

“Purata jualan para peserta didapati menunjukkan peningkatan, malah terdapat dalam kalangan mereka yang turut menambah bilangan pekerja.

“Perkembangan ini menjadi petunjuk jelas kepada kejayaan program berkenaan dalam memperkukuh keupayaan usahawan asnaf,”katanya.

Sebanyak 14 peserta terbaik dari setiap negeri diraikan dalam Majlis Graduasi SME Bank iTEKAD ISHRAF 4.0 yang berlangsung di ibu negara.

Bagi tempoh 2025 hingga 2026, program SME Bank iTEKAD ISHRAF 4.0 akan terus memperkasa 420 usahawan asnaf di seluruh negara dengan peruntukan berjumlah RM9 juta.

Peruntukan itu merangkumi geran padanan di bawah program iTEKAD Bank Negara Malaysia serta sumbangan rakan strategik seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Bank Islam Malaysia Berhad dan Bursa Malaysia Berhad.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.