MPRC wajar main peranan agensi peneraju sektor OGSE

Foto BERNAMA 

PUTRAJAYA, 11 Jun – Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) wajar memainkan peranan sebagai agensi peneraju bagi sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan sedia beri sokongan diplomasi untuk memudahkan akses perniagaan OGSE negara ke syarikat dan kontraktor utama serantau.
  • MPRC digalakkan bekerjasama dengan MATRADE dan Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia untuk meneroka peluang pasaran luar negara.
  • Industri OGSE menyumbang hasil besar, eksport kukuh, melibatkan beribu syarikat dan menyokong lebih 123,000 pekerjaan.
  • Kerja pembaikan semula fasiliti minyak dan gas di Asia Barat memerlukan kos tinggi tetapi membuka peluang perolehan sekitar AS$1.5 bilion.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ia bertujuan membina kapasiti syarikat, membuka akses pasaran dan membantu peluang luar negara diterjemahkan kepada hasil perniagaan yang sebenar.

“Dalam konteks ini, kerajaan bersedia memberikan sokongan dari sudut diplomasi hubungan dua hala bagi memudah cara akses perniagaan OGSE negara kepada syarikat dan kontraktor utama di rantau berkenaan.

“MPRC boleh bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia bagi mengenal pasti, meneroka dan merealisasikan peluang pasaran luar negara untuk syarikat OGSE negara secara lebih tersusun serta berkesan,” katanya ketika Taklimat Krisis Bekalan Global di sini hari ini.

Jelasnya, berdasarkan pembentangan MPRC, industri OGSE negara mencatatkan hasil sebanyak RM94.5 bilion bagi tahun kewangan 2024 dengan hasil eksport sebanyak RM23 bilion dan melibatkan 3,765 syarikat tempatan dan menyokong lebih 123,000 pekerjaan.

Terdapat keperluan besar bagi membaik pulih dan membangunkan semula fasiliti minyak, gas dan petrokimia yang terjejas susulan krisis di Asia Barat.

“Anggaran awal menunjukkan kos pembangunan semula boleh mencecah antara AS$42 bilion hingga AS$58 bilion, melibatkan 158 lapangan pengeluaran dan 21 loji pemprosesan,” katanya.

Jelas beliau, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengambil maklum bahawa fasa pembangunan dan pembaikan semula kemudahan infrastruktur minyak dan gas di rantau Asia Barat kelak akan melibatkan kos yang tinggi, dianggarkan antara AS$42 bilion hingga AS$57 bilion.

“Ini berpotensi membuka ruang perolehan yang realistik bernilai sekitar AS$1.5 bilion kepada syarikat-syarikat Malaysia. Bagi kerajaan, krisis bukan sahaja perlu diurus dari sudut risiko, tetapi juga dilihat dari sudut peluang untuk memperkukuh daya saing industri negara,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.