
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Pengukuhan disiplin fiskal perlu terus menjadi keutamaan bagi memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global yang semakin kompleks.
- Dalam ruang fiskal terhad, sumber awam mesti diurus berhemat, bantuan disasarkan dan program menghasilkan impak yang boleh diukur.
- Perniagaan perlu meningkatkan produktiviti, mengurus kos cekap, membuat pelaburan bijak dan memperkukuh daya tahan operasi.
- Profesional perakaunan harus bergiat sebagai rakan strategik, membantu organisasi menyesuaikan operasi dan memperkukuh tadbir urus serta pemantauan sumber.
- Pelancaran Panduan Pemantauan dan Pelaporan Impak Kewangan Sosial Islam meningkatkan konsistensi, ketelusan dan akauntabiliti pelaporan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata usaha itu merupakan asas kepada pengurusan kewangan negara yang mampan, selain menyokong rakyat dan perniagaan serta menarik pelaburan berkualiti.
“Dunia kini berdepan pelbagai cabaran termasuk ketegangan geopolitik, penjajaran semula rantaian bekalan, gangguan teknologi, risiko iklim, tekanan kos dan perubahan jangkaan pelabur. Perkembangan tersebut sedang membentuk semula cara ekonomi berkembang, bersaing dan membina daya tahan,” katanya.
Dalam keadaan ruang fiskal yang semakin terhad, Datuk Seri Amir turut menegaskan keperluan agar sumber awam dimanfaatkan secara optimum.
“Bagi kerajaan, ini bermakna memastikan sumber awam diurus secara berhemat, bantuan disasarkan dengan berkesan dan program yang dilaksanakan menghasilkan impak yang boleh diukur.
“Bagi perniagaan pula, ia bermakna meningkatkan produktiviti, mengurus kos dengan lebih cekap, membuat pelaburan secara bijak dan memperkukuh daya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Akauntan 2026 anjuran Institut Akauntan Malaysia (MIA) di sini, hari ini.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Amir turut menggesa golongan profesional perakaunan memainkan peranan lebih besar sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara.
Menurut beliau, mereka bukan sahaja bertanggungjawab memastikan pematuhan dan pelaporan kewangan, malah membantu organisasi menyesuaikan operasi, mengurus sumber secara bertanggungjawab serta memperkukuh tadbir urus.
Pada majlis sama, Datuk Seri Amir melancarkan Panduan Industri Mengenai Pemantauan dan Pelaporan Impak bagi Kewangan Sosial Islam yang baharu.
Panduan yang dibangunkan menerusi kerjasama dengan Bank Dunia itu bertujuan meningkatkan konsistensi, ketelusan dan akauntabiliti dalam pemantauan serta pelaporan impak inisiatif kewangan sosial Islam.