Pasaran getah ditutup bercampur-campur

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Selasa dipacu oleh sentimen pasaran yang bertambah baik susulan ketegangan geopolitik yang semakin mereda di Asia Barat, kata seorang peniaga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Eksport China berkembang melebihi jangkaan, menyokong permintaan termasuk sektor automobil.
  • Peningkatan aktiviti menoreh dijangka menambah bekalan getah asli di kalangan negara pengeluar utama.
  • Para peniaga kekal berhati-hati menjelang data inflasi AS untuk petunjuk terhadap hala tuju kadar faedah Rizab Persekutuan.

Namun katanya, ia turut dipengaruhi oleh jangkaan penambahbaikan keadaan bekalan getah asli serta harga minyak mentah penanda aras yang lebih rendah.

Ketika berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent mencatatkan penurunan sebanyak 1.81 peratus kepada US$92.49 setong.

Beliau memberitahu Bernama bahawa niaga hadapan getah Jepun meningkat sedikit pada Selasa, disokong oleh mata wang yen yang lebih lemah.

Peniaga itu berkata eksport China berkembang 19.4 peratus tahun ke tahun, melepasi jangkaan pasaran sebanyak 15 peratus disokong oleh permintaan yang kukuh termasuk dalam sektor automobil.

Bagaimanapun, peningkatan itu dihadkan oleh jangkaan pertambahan bekalan getah asli berikutan aktiviti menoreh yang semakin meningkat di negara-negara pengeluar utama.

Sementara itu, beliau berkata jualan kenderaan di China menyusut 22.3 peratus tahun ke tahun kepada 1.53 juta unit pada Mei sekali gus melanjutkan aliran penurunan selama lapan bulan dalam sektor automotif.

“Para peniaga juga kekal berhati-hati menjelang pengumuman data inflasi utama Amerika Syarikat bagi mendapatkan petunjuk mengenai hala tuju kadar faedah Rizab Persekutuan.

“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya berjaya dihadkan oleh data eksport China yang lebih kukuh daripada jangkaan serta sentimen pasaran yang bertambah baik susulan ketegangan geopolitik yang semakin mereda di Asia Barat, di tengah-tengah fenomena El Nino yang teruk dan cuaca panas,” katanya.

Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 menyusut 4.50 sen kepada 921.50 sen sekilogram manakala lateks pukal meningkat dua sen kepada 764.50 sen sekilogram.- BERNAMA

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.