
PUTRAJAYA, 8 Jun – Kerajaan akan mempertingkat tindakan penguatkuasaan terhadap warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial bagi menjalankan aktiviti perniagaan atau pekerjaan tanpa kebenaran di negara ini.
- Warga asing dengan pas lawatan sosial dilarang bekerja atau berniaga; ini selaras amalan dan peraturan imigresen antarabangsa.
- Arahan Kabinet: semua agensi penguatkuasa termasuk KDN, KPDN, KPKT, Kewangan dan pihak berkuasa tempatan ambil tindakan segera.
- Tindakan penguatkuasaan dijalankan mengikut Akta Imigresen; kes lesen dan operasi premis diselesaikan oleh agensi berkaitan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, warga asing yang memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial hanya dibenarkan berada di negara ini sebagai pelawat dan tidak dibenarkan bekerja atau menjalankan perniagaan, selaras dengan amalan serta peraturan imigresen yang diguna pakai di peringkat antarabangsa.
“Perdana Menteri membangkitkan hal ini dalam Mesyuarat Jemaah Menteri susulan aduan yang diterima secara langsung daripada orang ramai berhubung kegiatan warga asing yang dipercayai menjalankan perniagaan tanpa permit yang sah.
“Susulan arahan Kabinet, semua agensi penguat kuasa berkaitan termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Kewangan serta pihak berkuasa tempatan diminta mengambil tindakan segera mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.
KDN telah melaksanakan beberapa operasi penguatkuasaan terhadap warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan perniagaan, termasuk operasi bersepadu di Pantai Timur Sabah yang diketuai ESSCOM.
“KDN akan mengambil tindakan di bawah Akta Imigresen, manakala kes melibatkan lesen dan operasi premis akan ditangani oleh agensi berkaitan. Undang-undang dan agensi penguat kuasa sudah ada, yang penting sekarang ialah tindakan segera dan bersepadu,” katanya.
Tambahnya, peniaga tempatan turut membangkitkan isu persaingan tidak adil apabila terdapat warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa mematuhi syarat pelesenan dan percukaian seperti yang dikenakan ke atas usahawan tempatan.