
IPOH, 8 Jun – Sebanyak 309,000 bahan arkib berjaya dikumpulkan oleh Arkib Negara Malaysia daripada pelbagai sumber komuniti di seluruh negara bagi memperkukuh usaha pemeliharaan warisan sejarah dan dokumentasi negara.
- Lebih 6,000 bahan baharu diperoleh tahun lalu menerusi inisiatif pengumpulan dan pemeliharaan.
- Bahan yang dikumpul merangkumi gambar lama, kaset, dokumen dan catatan keluarga untuk pemeliharaan warisan.
- Arkib Negara mendekati komuniti melalui program kampung dan galakkan penyerahan bahan sejarah bagi rujukan generasi akan datang.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, daripada jumlah itu, lebih 6,000 bahan baharu diperoleh sepanjang tahun lalu menerusi pelbagai inisiatif pengumpulan dan pemeliharaan bahan sejarah.
Menurut beliau, bahan yang dikumpulkan merangkumi pelbagai bentuk rekod sejarah termasuk gambar lama, kaset, dokumen serta catatan sejarah keluarga yang disumbangkan oleh orang ramai.
Katanya, usaha berkenaan dilaksanakan menerusi pendekatan mendekati komuniti melalui program di kampung dan kawasan setempat bagi memastikan bahan sejarah penting tidak hilang ditelan zaman.
“Jika bahan-bahan ini tidak disimpan dan didokumentasikan dalam arkib, generasi akan datang mungkin tidak dapat melihat serta memahami sejarah yang pernah berlaku.
Sebagai contoh, jika kita melihat sejarah di Sarawak seperti amalan penanaman padi bukit yang semakin berkurangan, ia perlu didokumentasikan supaya tidak lenyap begitu sahaja. Apabila maklumat ini disimpan dalam pelbagai format arkib, generasi akan datang boleh menggunakannya untuk tujuan penyelidikan dan rujukan akademik, termasuk di peringkat pengajian tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Persatuan Arkib Audiovisual Asia Tenggara dan Pasifik (SEAPAVAA) 2026 di sini, hari ini.
Datuk Aaron berkata, Arkib Negara Malaysia turut menerima sumbangan daripada individu yang menyerahkan koleksi peribadi seperti buku catatan, dokumen lama dan arkib keluarga untuk disimpan secara rasmi.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang ramai untuk terus menyerahkan bahan sejarah yang mempunyai nilai warisan menerusi saluran rasmi Arkib Negara Malaysia bagi tujuan pemeliharaan serta rujukan generasi akan datang.