
KUALA NERUS, 8 Jun – Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan notis arahan pembetulan dan penambahbaikan loji kumbahan sebuah resort di Pulau Perhentian, Besut susulan dakwaan terdapat pencemaran membabitkan pelepasan sisa domestik secara terus ke laut.
- Pemeriksaan lapangan dan pengambilan sampel dijalankan untuk menilai keberkesanan loji rawatan kumbahan
- Keputusan analisis sampel daripada Jabatan Kimia Malaysia sedang ditunggu sebelum sebarang tindakan lanjut
- Notis arahan dikeluarkan mengikut Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sebagai langkah penguatkuasaan awal
- Siasatan masih berjalan, tindakan lanjut akan diambil mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 selepas keputusan rasmi
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS, Azuri Azizah Saedon berkata, pemeriksaan di lapangan serta pengambilan sampel telah dijalankan bagi menentukan sama ada sistem rawatan kumbahan premis berkenaan berfungsi dengan baik dan mematuhi standard pelepasan sisa yang ditetapkan.
Ketika ini pihaknya sedang menunggu keputusan analisis sampel daripada Jabatan Kimia Malaysia sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
“Kita telah membuat pemeriksaan terhadap loji kumbahan resort yang diadukan itu dan kita juga telah mengambil beberapa sampel untuk kita tahu sama ada tahap loji itu boleh merawat ataupun tidak dan mematuhi standard pelepasan yang ditetapkan.
Perkara tersebut masih lagi dalam siasatan. Apabila ada keputusan rasmi, kita akan mengambil tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya selepas merasmikan Pertandingan Akhir Debat Alam Sekitar Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Kali Ke-32 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, hari ini.
Tambahnya, walaupun keputusan rasmi masih belum diterima,tindakan penguatkuasaan awal sudah diambil dengan mengeluarkan notis arahan mengikut Seksyen 31 dan Seksyen 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada resort berkenaan.
Tindakan itu diambil sebagai langkah awal bagi memastikan sistem rawatan kumbahan resort tersebut mematuhi syarat yang ditetapkan.
Sebelum ini, tular video rakaman resort di Pulau Perhentian membuang air yang dipercayai sisa domestik secara langsung ke dalam laut dan kerajaan negeri Terengganu mengarahkan JAS menyiasat kesahihan perkara tersebut.