
PEKAN, 18 Oktober – Sebanyak 300 batang pokok ditanam menerusi program Grow Now, Grow Futures di Hutan Simpan Chini di sini ini bagi menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar dan kelestarian hutan.
- Inisiatif kolaboratif antara UCYP, BSN, Jabatan Perhutanan dan komuniti Orang Asli menyokong usaha pemuliharaan hutan.
- Penanaman spesies tempatan seperti merbau, keruing dan petai untuk memelihara kelestarian ekosistem hutan.
- Program memberi pendedahan praktikal kepada pelajar, memupuk kesedaran kelestarian, semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial.
Program anjuran UCYP University dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Pahang dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang itu melibatkan penyertaan wakil universiti, pelajar, BSN, jabatan berkenaan serta komuniti Orang Asli.
Timbalan Naib Canselor (Akademik) UCYP University, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Hamisa Abdul Hamid berkata pokok tersebut terdiri daripada Dipterokap dan Bukan Dipterokap (non-dipterokap) iaitu spesis tempatan yang memang asal dari Hutan Simpan Chini.
“Antaranya pokok merbau (pokok kebangsaan Malaysia), pokok keruing, pokok petai (buah-buahan hutan).
Program berkenaan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar, selain memupuk semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial,” katanya.
Beliau berkata, BSN Cawangan Pahang menyumbangkan RM10,000 kepada UCYP University bagi menjayakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu, manakala Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menyediakan anak pokok untuk aktiviti penanaman.
Beliau berkata penglibatan pelajar dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar memberikan pendedahan bermakna di luar bilik kuliah, sekali gus memupuk kesedaran terhadap kepentingan kelestarian alam, semangat kesukarelawanan dan keprihatinan terhadap komuniti.
“Program ini merupakan inisiatif bersama bagi menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar, memelihara kelestarian hutan serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga khazanah alam semula jadi untuk generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.