Pendaftaran perkahwinan sivil perlu patuhi undang-undang negara

Foto hiasan/Bernama

KUALA LUMPUR, 18 Oktober –Pendaftaran perkahwinan sivil bagi pasangan bukan Islam di Malaysia perlu dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang negara, tanpa menjejaskan kebebasan beragama serta amalan keagamaan masing-masing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Upacara keagamaan dan pendaftaran perkahwinan sivil ialah urusan berbeza yang perlu difahami masyarakat untuk elakkan kekeliruan agama.
  • Akta 164 memberi kuasa kepada Pendaftar dan Penolong Pendaftar untuk mengupacarakan serta mendaftarkan perkahwinan mengikut peruntukan undang-undang.
  • JPN menggesa orang ramai faham peruntukan undang-undang, jangan sebarkan maklumat mengelirukan, dan komited laksana perkahwinan sivil secara profesional.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan, upacara keagamaan dan pengupacaraan serta pendaftaran perkahwinan sivil merupakan dua urusan berbeza yang perlu difahami masyarakat bagi mengelakkan kekeliruan, khususnya berkaitan sensitiviti agama.

“Setiap agama mempunyai upacara, adat dan amalan perkahwinan tersendiri, termasuk agama Buddha, Kristian dan Hindu, yang merupakan urusan penganut serta pemimpin agama masing-masing.

“Namun dari sudut perundangan, perkahwinan pasangan bukan Islam yang tertakluk kepada Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) perlu dilaksanakan dan didaftarkan mengikut peruntukan ditetapkan bagi memastikan status perkahwinan diiktiraf secara sah,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPN, Akta 164 memberikan kuasa kepada Pendaftar Perkahwinan dan Penolong Pendaftar Perkahwinan yang dilantik untuk mengupacarakan serta mendaftarkan perkahwinan sivil.

Perkahwinan berkenaan boleh dilaksanakan di pejabat JPN atau Rumah Ibadat dan Persatuan melalui Penolong Pendaftar Perkahwinan yang diberi kuasa, tertakluk kepada syarat serta prosedur undang-undang yang berkuat kuasa.

Sehubungan itu, JPN menegaskan pengupacaraan perkahwinan sivil oleh pihak yang diberi kuasa di bawah Akta 164 tidak boleh disamakan dengan pelaksanaan ritual keagamaan.

Sebaliknya merupakan tanggungjawab yang dilaksanakan berdasarkan undang-undang negara.

“JPN mengingatkan masyarakat supaya memahami fakta dan peruntukan undang-undang berkaitan sebelum membuat sebarang tafsiran atau menyebarkan maklumat, khususnya perkara yang menyentuh sensitiviti agama.

“JPN turut menyeru semua pihak agar menghormati peruntukan undang-undang negara dan tidak menjadikan perbezaan antara urusan sivil dengan amalan keagamaan sebagai asas penyebaran dakwaan yang tidak tepat atau boleh mengelirukan masyarakat,” tambah kenyataan itu.

Jabatan itu menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap urusan perkahwinan sivil dilaksanakan secara teratur, profesional dan berlandaskan undang-undang, dengan terus menghormati kepelbagaian agama, adat serta budaya di Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.