
KUALA LUMPUR, 18 Oktober -Malaysia berkemungkinan mengalami kerugian sehingga RM1 bilion sebulan akibat jerebu, susulan pengurangan aktiviti luar dan kemerosotan sentimen pengguna yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.
- Kesan jerebu mengurangkan aktiviti luar dan menjejaskan sentimen pengguna, memberi tekanan kepada pertumbuhan ekonomi.
- Ketua Ekonomi MARC menekankan keperluan memberi perhatian terhadap impak ekonomi jerebu.
- Negara-negara Asia perlu memperkukuh pengurusan jerebu rentas sempadan untuk lindungi ekonomi dan kesejahteraan penduduk.
- Malaysia dijangka terus bekerjasama dengan Singapura, khususnya menjelang kepimpinan Singapura dalam ASEAN 2027.
Ketua Ekonomi MARC Ratings, Prof Adjung Dr Ray Choy berkata, kesan jerebu terhadap ekonomi perlu diberi perhatian kerana fenomena itu bukan sahaja menjejaskan aktiviti harian, malah berpotensi mengurangkan perbelanjaan pengguna dan kegiatan ekonomi.
“Buat masa ini, anggaran menunjukkan Malaysia mungkin mengalami kerugian sehingga RM1 bilion daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap bulan akibat jerebu, susulan pengurangan aktiviti luar atau kemerosotan sentimen pengguna,” katanya kepada pemberita, di sini.
Beliau berkata, negara-negara Asia dijangka terus menyokong usaha memperkukuh pengurusan jerebu rentas sempadan bagi menangani kesan fenomena itu terhadap ekonomi dan kesejahteraan penduduk.
Menurutnya, Malaysia juga dijangka terus bekerjasama dengan Singapura dalam menangani isu berkenaan, khususnya ketika Singapura bakal menerajui ASEAN pada 2027.
“Saya yakin Malaysia terus komited untuk menangani isu ini bersama-sama Singapura, yang sememangnya akan menerajui ASEAN pada 2027,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengurangan kesan negatif terhadap ekonomi, termasuk kerugian akibat jerebu, boleh menjadi antara ruang untuk meningkatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.