
KUALA LUMPUR, 18 Oktober -Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu bertindak segera melindungi pekerja daripada kesan jerebu bagi mengelakkan gangguan operasi perniagaan, termasuk melaksanakan aturan bekerja dari rumah (BDR) jika bersesuaian.
- Jerebu bukan sekadar isu alam sekitar; ia ancaman langsung kepada keselamatan pekerja dan ketahanan operasi syarikat.
- SAMENTA menggesa pemilik PMKS mengambil tindakan tegas untuk melindungi warga kerja yang terjejas.
- Majikan perlu menyediakan perlindungan pernafasan sesuai, termasuk pelitup muka N95, kepada pekerja barisan hadapan.
- Aturan bekerja dari rumah wajar dipertimbangkan bagi penghidap asma, masalah pernafasan dan ibu bapa terjejas.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng berkata, jerebu kini bukan sekadar isu alam sekitar, sebaliknya ancaman langsung terhadap keselamatan pekerja dan daya tahan operasi syarikat.
“SAMENTA mengesyorkan pemilik PMKS untuk mengambil tindakan tegas dan segera bagi melindungi warga kerja yang terjejas.
“Ini bukan lagi sekadar isu alam sekitar, tetapi adalah ancaman langsung kepada operasi kita dan juga keselamatan pekerja kita,” katanya.
Beliau berkata, majikan perlu segera menyediakan perlindungan pernafasan yang sesuai, termasuk pelitup muka N95, kepada semua pekerja barisan hadapan yang terdedah kepada jerebu.
Pada masa sama, katanya, BDR wajar dipertimbangkan bagi pekerja yang menghidap asma atau mempunyai masalah pernafasan, selain ibu bapa yang perlu menguruskan anak susulan penutupan sekolah.
“Jadi, sebagai PMKS, kita perlu faham bahawa langkah ini bukan sekadar kebajikan pekerja, tetapi adalah keputusan perniagaan yang kritikal untuk mengekalkan daya tahan operasi syarikat,” katanya.
Beliau berkata, tindakan proaktif majikan penting bagi mengutamakan keselamatan pekerja sambil memastikan perniagaan dapat terus beroperasi ketika berdepan kesan jerebu.