
KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Kementerian Kewangan (MOF) menafikan dakwaan caj perkhidmatan kod respons pantas (QR) yang kononnya bermula 1 November ini.
- Kementerian Kewangan menafikan dakwaan tentang pelaksanaan caj perkhidmatan QR dan mengesahkan poster tular itu palsu.
- Orang ramai dinasihatkan tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkenaan.
- Rujuk saluran rasmi Kementerian Kewangan untuk maklumat tepat bagi mengelakkan penyebaran maklumat palsu yang mengelirukan masyarakat.
MOF menegaskan bahawa poster yang tular itu adalah palsu.
“Tiada pengumuman rasmi dikeluarkan mengenai pelaksanaan caj perkhidmatan QR seperti yang didakwa dalam poster berkenaan.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkenaan,” menurut MOF menerusi hantaran di Facebook hari ini.
MOF turut memuat naik sekeping poster palsu yang tular menggunakan gambar Perdana Menteri sebagai visual utama bersama tajuk “Berita utama hari ini, QR mulakan caj perhidmatan 1 November ini”.
MOF turut menggesa orang ramai supaya merujuk saluran rasmi kementerian bagi mendapatkan maklumat yang tepat sebelum berkongsi sebarang berita.
Pesanan itu sekali gus mengelakkan penyebaran maklumat palsu yang boleh mengelirukan masyarakat.