
KUALA LUMPUR, 7 Jun – Pemain beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menamatkan kemarau 18 tahun Malaysia menjuarai acara beregu lelaki di Terbuka Indonesia selepas menumpaskan wakil tuan rumah Raymond Indra-Nikolaus Joaquin, hari ini.
- Final berlangsung di Istora Senayan, Jakarta.
- Pasangan ranking kelapan dunia bangkit dari ketinggalan satu set, menewaskan wakil tuan rumah 13-21, 21-18, 21-10 dalam 49 minit.
- Malaysia kembali menawan gelaran beregu lelaki Super 1000 buat kali pertama sejak 2008.
- Juara membawa pulang hadiah wang tunai USD107,300 manakala pihak lawan menerima USD50,750.
Pada aksi final yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta, pasangan ranking kelapan dunia itu bangkit daripada ketinggalan satu set sebelum menewaskan wakil Indonesia itu 13-21, 21-18, 21-10 dalam tempoh 49 minit.
Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia kembali menawan gelaran beregu lelaki kejohanan berprestij bertaraf Super 1000 itu buat kali pertama sejak Zakry Abdul Latif-Fairuzizuan Tazari melakukannya pada edisi 2008.
“Kami bersyukur kerana sekali lagi berjaya meraih kemenangan di Istora Senayan hari ini selepas Indonesia Masters, Januari lepas. Terima kasih kepada pasangan saya serta para penaja atas segala sokongan yang diberikan,” kata Sze Fei menerusi rakaman audio yang dikongsi oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.
Selaku juara dan merangkul gelaran terbesar mereka musim ini, Sze Fei-Izzuddin membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak USD107,300 (RM432,365) manakala lawan tuan rumah itu menerima USD50,750 (RM204,533). – BERNAMA