Johor tawar gaji premium RM4,000 untuk graduan baharu

Foto BERNAMA

BATU PAHAT, 4 Jun – Gaji premium kini mula ditawarkan kepada anak muda Bangsa Johor dengan kadar pendapatan mencecah RM4,000 ke atas bagi golongan graduan baharu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peluang pekerjaan berkualiti tinggi mengurangkan keperluan graduan berhijrah ke Singapura atau Kuala Lumpur.
  • Gaji lebih kompetitif disesuaikan mengikut kelayakan akademik dan kemahiran teknikal; lepasan TVET berpeluang gaji lebih tinggi.
  • Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menjadi pemangkin, disokong pelaburan asing termasuk komitmen RM2 bilion.
  • Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) mengkoordinasi institusi berkaitan dan memudahcara 7,773 penempatan pekerjaan Januari hingga April.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata senario itu sekali gus menyaksikan mereka tidak lagi perlu berhijrah ke negara jiran seperti Singapura atau luar negeri Johor seperti Kuala Lumpur demi kelangsungan hidup.

Beliau berkata penawaran pendapatan lebih kompetitif itu akan disesuaikan mengikut kelayakan akademik dan tahap kemahiran teknikal yang dimiliki oleh setiap pemohon.

“Graduan baharu sekarang, senang-senang insya-Allah berdasarkan kelayakan, boleh dapat RM4,000 ke atas.

“Kalau lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bergantung kepada tahap, boleh dapat RM4,000 hingga RM5,000 ke atas… ini antara inisiatif yang kita buat,” katanya ketika berucap pada program Ayuh Johor Mahasiswa di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata lonjakan penawaran gaji premium itu didorong oleh inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang bertindak sebagai pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi negeri ketika ini.

Beliau berkata kemasukan pelabur asing termasuk komitmen pelaburan terbaharu bernilai RM2 bilion daripada sebuah syarikat industri minyak dan gas terkemuka dari Amerika Syarikat bakal membuka ribuan peluang pekerjaan berkualiti tinggi di bumi Johor.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Onn Hafiz berkata Johor menjadi satu-satunya kerajaan negeri yang menggerakkan kolaborasi bersepadu melibatkan semua institusi pengajian tinggi dan agensi berkaitan di bawah Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC).

Beliau berkata langkah strategik itu menyatukan entiti penting seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), institusi TVET, institusi pengajian tinggi (IPT), Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan HRD Corp bagi menjalankan proses padanan kerja secara agresif.

Bagi tempoh Januari hingga April lepas, JTDC telah memudah cara sebanyak 7,773 penempatan pekerjaan.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.