Malaysia-Mesir perluas kerjasama pendidikan, pertahanan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima kunjungan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Putrajaya./ BERNAMA

PUTRAJAYA, 10 Oktober – Malaysia dan Mesir berhasrat memperluas kerjasama pendidikan ke bidang kejuruteraan, perubatan, elektrik dan elektronik (E&E), teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI), selain memperkukuh kerjasama dalam sektor pertahanan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendidikan perlu melangkaui pengajian Islam untuk merangkumi bidang teknikal dan profesional penting.
  • Universiti Al-Azhar kekal penting, namun pengalaman Mesir dalam bidang lain membuka ruang kerjasama lebih luas.
  • Tingkatkan kerjasama pertahanan termasuk perolehan aset dan latihan bersama antara Malaysia dan Mesir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama pendidikan antara kedua-dua negara perlu melangkaui pengajian Islam bagi merangkumi bidang teknikal dan profesional yang semakin penting seiring perkembangan teknologi.

Beliau berkata, Universiti Al-Azhar kekal memainkan peranan penting dalam pendidikan Islam, namun kepakaran Mesir dalam bidang lain turut membuka ruang kerjasama yang lebih luas.

“Ramai doktor Malaysia mendapat latihan di Mesir. Oleh itu, saya tidak mahu timbul tanggapan bahawa pendidikan di Mesir hanya tertumpu kepada pengajian Islam.

“Pendidikan Islam sememangnya amat penting, khususnya dalam menerapkan pendekatan sederhana atau wasatiyyah. Namun, kerjasama pendidikan perlu turut merangkumi pelbagai bidang pengajian yang lain,” katanya pada sidang media bersama, di Kompleks Seri Perdana, di sini.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Anwar turut mencadangkan supaya kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Mesir dipertingkatkan, khususnya dalam aspek perolehan aset dan latihan bersama.

“Saya rasa kita juga perlu berkolaborasi dalam aspek pertahanan, antaranya perolehan aset dan pelaksanaan latihan secara bersama antara kedua-dua negara,” katanya.

Cadangan itu mencerminkan usaha meneroka ruang kerjasama dua hala yang lebih luas, meliputi pembangunan modal insan, penguasaan teknologi serta keupayaan pertahanan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.