RAM Ratings mengekalkan prospek positif terhadap sektor tenaga Malaysia

Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Jun – RAM Ratings mengekalkan prospek positif terhadap sektor tenaga Malaysia, disokong oleh momentum peralihan tenaga negara dan rangka kerja kawal selia yang semakin kukuh menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan pelan hala tuju di peringkat negeri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tenaga boleh baharu mencapai 12 GW (31% kapasiti terpasang) menjelang akhir Disember 2025, bergerak ke sasaran 40% (2035) dan 70% (2050).
  • Kemajuan bergantung pada kesinambungan dasar, pelaksanaan berdisiplin, penyelarasan pihak berkepentingan dan akses pembiayaan jangka panjang.
  • Sektor TBB dipacu oleh kapasiti solar fotovolta berskala besar dan penggunaan awal sistem penyimpanan tenaga bateri berskala grid.
  • Pasaran modal hutang Malaysia kukuh; RM9.2 bilion GSS+ diterbitkan 2025, menjadikan jumlah tertunggak RM20.9 bilion, menyokong pembiayaan infrastruktur tenaga.

Naib Presiden Kanan Penarafan Infrastruktur dan Utiliti RAM Ratings, Chong Van Nee berkata, setakat akhir Disember 2025, prospek itu dinilai berdasarkan perkembangan kemajuan Malaysia dalam peralihan tenaga serta menelusuri pelbagai inisiatif dalam sektor berkenaan.

“Sehingga akhir Disember 2025, tenaga boleh baharu (TBB) merangkumi 12 gigawatt (GW) atau 31 peratus daripada jumlah kapasiti terpasang negara, sekali gus meletakkan Malaysia di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran interim 40 peratus menjelang 2035 dan 70 peratus menjelang 2050,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, kemajuan berterusan itu bergantung kepada kesinambungan dasar, pelaksanaan yang berdisiplin, penyelarasan berkesan antara pihak berkepentingan serta akses berterusan kepada pembiayaan jangka panjang.

Mengulas lanjut, katanya, sektor TBB negara kini dilihat berkembang pesat, dipacu oleh penambahan kapasiti solar fotovolta berskala besar serta penggunaan awal sistem penyimpanan tenaga bateri berskala grid bagi meningkatkan kestabilan bekalan elektrik.

Dalam masa sama, katanya, loji jana kuasa baharu berasaskan gas dijangka menyediakan kapasiti bekalan yang stabil susulan loji jana kuasa arang batu telah dihentikan secara berperingkat.

“Kajian kebolehlaksanaan terhadap sumber tenaga rendah karbon baharu termasuk tenaga nuklear berpotensi mempelbagaikan lagi campuran penjanaan tenaga negara,

“Dalam konteks itu, kira-kira 20 GW kapasiti baharu jana kuasa dijadualkan mula beroperasi di seluruh negara menjelang 2030,” katanya lagi dalam kenyataan sama.

Sementara itu, mengulas mengenai kedudukan pasaran modal hutang Malaysia, katanya ia masih lagi dalam kedudukan yang baik untuk membiayai peluasan kapasiti sektor TBB dan penaiktarafan grid sektor berkenaan.

Jelas beliau, sektor tenaga berjaya meraih RM9.2 bilion menerusi bon dan sukuk hijau, sosial, kemampanan serta berkaitan kemampanan (GSS+) pada 2025, menjadikan jumlah terbitan tertunggak meningkat kepada RM20.9 bilion setakat akhir Disember 2025.

“Kami menjangkakan penyertaan yang kukuh daripada segmen TBB dalam pembiayaan hutang apabila projek berskala utiliti terus berkembang dan momentum pelaburan semakin meningkat.

“Dengan kedalaman pasaran dan keluk hasil yang mantap, pasaran bon Malaysia amat sesuai untuk membiayai projek infrastruktur tenaga jangka panjang ini,” kata RAM.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.