
HULU LANGAT, 1 Jun – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berjaya menyelamatkan seorang lelaki tempatan seberat lebih 100 kilogram yang cedera selepas tergelincir ketika melakukan aktiviti pendakian di Air Terjun Jeram Perlus, di sini pada pukul 9.00 pagi tadi.
- Menerima panggilan kecemasan pada 12.58 tengah hari dan tiba di lokasi pada 1.31 petang.
- Mangsa berusia 32 tahun mengalami patah kaki kiri dan kecederaan pada kaki kanan.
- Dibawa turun menggunakan pengusung khas sejauh kira-kira lapan kilometer dari Pos Kawalan Bomba.
- Operasi melibatkan 10 anggota, mengambil hampir 20 jam, tamat 9.15 pagi, mangsa diserahkan kepada KKM ke Hospital Ampang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.58 tengah hari pada Ahad sebelum tiba di lokasi pada pukul 1.31 tengah hari.
“Mangsa berusia 32 tahun itu dipercayai mengalami patah kaki kiri serta kecederaan pada kaki kanan dan dibawa turun menggunakan pengusung sejauh kira-kira lapan kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKB).
“Mangsa tidak mampu berjalan mahupun dipapah berikutan kecederaan pada bahagian tangan dan kaki. Anggota bertindak memasang alat sokongan (lower limb splint) pada kaki mangsa sebelum membawanya turun menggunakan pengusung khas (sked stretcher),” menurut kenyataan itu.
Operasi menyelamat melibatkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dan BBP Ampang itu mengambil masa hampir 20 jam berikutan faktor fizikal mangsa serta keadaan muka bumi yang mencabar.
Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 9.15 pagi tadi dan mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke Hospital Ampang bagi tindakan lanjut.