
KUALA LUMPUR, 1 Jun – Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menyambut baik arahan Kementerian Kewangan (MOF) untuk memperketat pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) terhadap pengesahan MyKad bagi setiap transaksi BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
- PDAM cadang larangan pengesahan fizikal manual kerana membuka ruang transaksi tanpa kebenaran, penyalahgunaan subsidi dan pelanggaran integriti.
- PDAM akan bekerjasama dengan MOF dan KPDN untuk pastikan isu tidak berulang di stesen minyak.
- Persatuan komited mematuhi SOP; hanya pemilik MyKad dibenarkan beli BUDI95 di stesen minyak.
- Tindakan tegas termasuk denda dan penjara boleh dikenakan terhadap penyalahgunaan maklumat individu lain.
Presidennya, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, langkah itu penting bagi mengekang penyalahgunaan MyKad oleh pihak tidak bertanggungjawab, sekali gus mengurangkan risiko transaksi tanpa kebenaran.
“Kami di pihak persatuan telah lama mencadangkan agar pengesahan fizikal secara manual tidak dibenarkan kerana ia membuka ruang kepada transaksi tanpa kebenaran, penyalahgunaan subsidi serta pelanggaran integriti pelaksanaan program.
“Justeru, kami amat berterima kasih kepada Kementerian Kewangan atas arahan tersebut.
“Kami akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan perkara ini tidak berulang di stesen-stesen minyak,” katanya ketika dihubungi RTM.
Tambah beliau, pihaknya komited untuk terus mematuhi SOP sedia ada dengan memastikan hanya pemilik MyKad sendiri dibenarkan membuat pembelian BUDI95 di stesen minyak.
Sementara itu, mengulas mengenai tindakan yang boleh dikenakan terhadap pengusaha stesen atau kakitangan yang didapati terlibat, beliau berkata segala tindakan adalah tertakluk kepada undang-undang yang telah digubal.
Sebelum ini, MOF memaklumkan sebarang urus niaga yang dilakukan secara manual tanpa pengesahan fizikal MyKad terlebih dahulu adalah tidak dibenarkan.
Langkah itu susulan kebimbangan tindakan itu boleh membuka ruang kepada transaksi tanpa kebenaran, penyalahgunaan subsidi serta pelanggaran integriti pelaksanaan program.
Jelas MOF, tindakan tegas termasuk denda dan hukuman penjara boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah menggunakan maklumat individu lain bagi mendapatkan manfaat subsidi BUDI95.