
KUALA LUMPUR, 28 Mei – Pengendali Kuching City FC (KCFC), Aidil Sharin Sahak disahkan akan terus membimbing pasukan itu selepas menandatangani kontrak baharu selama tiga tahun sehingga 2029.
- Datuk Fazzrudin Abdul Rahman mengumumkan perkara itu menerusi kenyataan media rasmi kelab.
- Pengurusan yakin keputusan itu mencerminkan keyakinan penuh terhadap kemampuan Aidil membentuk hala tuju dan pembangunan jangka panjang.
- Aidil memainkan peranan penting membentuk identiti permainan, memperkukuh semangat berpasukan dan menjana pencapaian membanggakan.
- KCFC menamatkan Liga Super di tangga kedua, mara akhir Piala Malaysia buat kali pertama, serta akan beraksi di ACL2 dan ACC.
Perkara berkenaan diumumkan Pengerusi KCFC, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman menerusi satu kenyataan media hari ini.
Menurut Fazzrudin, lanjutan kontrak itu membuktikan keyakinan penuh pihak pengurusan terhadap kemampuan Aidil dalam membentuk hala tuju dan pembangunan pasukan untuk jangka panjang.
“Sejak membimbing pasukan, Aidil Sharin memainkan peranan penting dalam membentuk identiti permainan kelab, memperkukuhkan semangat berpasukan serta mencipta pelbagai pencapaian membanggakan buat KCFC.
“Pihak kelab percaya kesinambungan ini akan memberikan kestabilan dan momentum positif dalam usaha membina masa depan lebih gemilang buat pasukan serta seluruh penyokong KCFC,” katanya.
Sebagai rekod, pengendali dari Singapura itu berjaya membawa Kuching City menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua selain mencipta sejarah mara ke pentas akhir Piala Malaysia buat kali pertama.
Kejayaan tersebut turut menyaksikan KCFC bakal beraksi di pentas Liga Juara Asia 2 (ACL2) dan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) musim depan.