Belanjawan 2027: Industri halal mahu pensijilan dipermudah, perkasa pembiayaan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 25 September – Belanjawan 2027 diharapkan terus mempermudah akses kepada pembiayaan bagi peserta industri halal, memperkukuh pengembangan industri selain melancarkan proses pengeluaran sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Permohonan pensijilan halal perlu didigitalisasikan sepenuhnya supaya proses dipercepat tanpa penghantaran manual.
  • Peniaga kecil baharu perlu diberikan panduan proses pensijilan halal supaya lebih mudah berurusan di dalam dan luar negara.
  • Peruntukan pembiayaan melalui SJPP perlu ditingkatkan untuk bantu PMKS menangani kos meningkat dan mengembangkan pasaran antarabangsa.

Bagi peserta industri halal tempatan Farihah Hishamoodin, inisiatif yang bakal diperkenalkan itu diharap dapat menyokong sektor pembangunan halal negara sekali gus memperkukuh keyakinan pengguna dan pelabur.

“Saya harap proses permohonan pensijilan halal dapat digitalisasikan sepenuhnya. Sekarang ini, walaupun prosesnya sudah lebih digital, masih ada dokumen yang perlu dihantar secara manual.

“Kalau boleh, semuanya dibuat secara dalam talian tanpa perlu penghantaran manual, supaya proses itu dapat dipercepatkan,” katanya kepada RTM.

Dalam pada itu, seorang lagi peserta Fairuz Ghazali berpandangan, usaha memudahkan pensijilan perlu disertai panduan kepada peniaga baharu, khususnya perusahaan kecil yang mahu mendapatkan sijil halal buat kali pertama.

“Saya harap kebanyakan peniaga kecil, terutama yang baru nak mula berniaga, boleh diberikan panduan tentang proses mendapatkan sijil halal. Bila ada sijil halal, lebih mudah untuk mereka berurusan, sama ada dalam negara atau ke luar negara,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zikrie Zalmizi mencadangkan peruntukan bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) perlu ditingkatkan bagi membantu penggiat industri berdepan peningkatan kos susulan ketidaktentuan geopolitik.

“Kalau boleh, berikan lebih banyak peruntukan kepada kami kerana kami bukan industri yang besar, kebanyakannya perusahaan kecil. Dengan adanya konflik di luar negara sekarang, sedikit sebanyak ia memberi impak dari segi harga bahan mentah dan kos lain,” katanya.

Pandangan sama turut disuarakan peserta industri halal, Iman Khadijah Nur Aries, yang berpandangan bahawa peningkatan sokongan pembiayaan dapat membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengembangkan produk serta memperluas pasaran ke peringkat antarabangsa.

“Saya berpendapat ia perlu dipertingkatkan lagi kerana dapat membantu memperkenalkan produk dengan lebih meluas melalui kemudahan pinjaman tersebut. Yang perlu diutamakan pada masa sekarang mungkin dari segi dana, kerana ia dapat membantu kami mengembangkan produk dan meluaskan pasaran,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Interim, Halal Development Corporation (HDC), Hanisofian Alias berkata, program promosi dan pengembangan industri halal juga perlu diperluas bagi memperkukuh penjenamaan produk tempatan di pasaran antarabangsa.

“Dari segi program, kita ada banyak inisiatif. Kalau diberi peluang, saya rasa program-program tersebut perlu digabungkan atau melibatkan lebih banyak agensi supaya impaknya dapat diperluaskan dan menjadi lebih besar,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.