
KUALA LUMPUR, 27 Mei – Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon optimis pasukannya memiliki kemampuan taktikal untuk bangkit menewaskan Buriram di gelanggang lawan.
- Pasukan membuat penilaian menyeluruh aksi pertama dan merangka pendekatan baharu untuk memecahkan corak permainan Buriram.
- Memburu gol awal jadi keutamaan untuk menyamakan agregat dan memberi tekanan kepada tuan rumah mengubah corak permainan.
- Kekuatan pasukan terletak pada kesatuan dan semangat berpasukan; pengganti tonggak yang hilang diyakini berupaya mengekalkan prestasi.
Pengendali dari Korea Selatan itu berkata pasukan telah melakukan penilaian menyeluruh terhadap aksi pertama bagi memperbaiki kelemahan selain merangka pendekatan baharu untuk memecahkan corak permainan Buriram.
Menurutnya memburu gol awal menjadi keutamaan kerana ia bukan sahaja mampu menyamakan agregat, malah memberi tekanan kepada pasukan tuan rumah untuk mengubah corak permainan mereka.
“Prestasi kami pada aksi pertama bukanlah 100 peratus kemampuan sebenar pasukan. Kami sudah banyak berbincang dan memperbaiki beberapa perkara, dan saya percaya pemain cukup yakin untuk mengubah keputusan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pan Gon tetap optimis meskipun kehilangan tonggak utama Noor Al-Rawabdeh dan Mohamad Abualnadi, yang dilaporkan sudah menyertai kem latihan skuad kebangsaan Jordan bagi menghadapi saingan kelayakan Piala Dunia.
Beliau menegaskan kekuatan Selangor tidak bergantung kepada individu tertentu, sebaliknya terletak pada kesatuan dan semangat berpasukan.
Katanya pemain yang bakal menggantikan tempat dua tonggak itu memiliki kualiti diperlukan untuk memastikan jentera pasukan terus berfungsi dengan baik dalam aksi yang dijangka berlangsung sengit. – BERNAMA