Hampir 90 peratus pengguna di Labuan alami gangguan bekalan air

Foto Jabatan Bekalan Air Labuan

LABUAN, 6 Oktober – Hampir 90 peratus kawasan di Labuan mengalami gangguan bekalan air sejak dua hari lalu, membabitkan 17,411 akaun pengguna.

RINGKASAN BERITA AI
  • Agensi kerajaan digerakkan untuk mengisi tangki statik bagi membantu penduduk mendapatkan bekalan air bersih.
  • JPBD minta Jabatan Bekalan Air menyelaraskan pengedaran dan fokus kawasan berkepadatan tinggi.
  • Gangguan disebabkan kerosakan pam air mentah Fasa Dua di Loji Rawatan Air Lawa Gadong, Beaufort, Sabah.
  • Penduduk diminta menggunakan bekalan air dengan berhemah sehingga kerja pembaikan selesai, agensi termasuk PL, JBA, bomba, APM, JKR dan TUDM.

Susulan itu, agensi kerajaan digerakkan mulai hari ini untuk mengisi tangki statik yang disediakan di pulau berkenaan bagi membantu penduduk mendapatkan bekalan air bersih.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Wilayah Persekutuan Labuan, Rithuan Mohd Ismail berkata, langkah itu diambil bagi mengurangkan tekanan penduduk susulan gangguan bekalan air.

“Semua aset yang boleh membantu pengedaran air telah digerakkan dan gerak kerja sudah dimulakan.

“Saya minta Jabatan Bekalan Air menyelaraskan pengedaran supaya kita memastikan penduduk yang memerlukan air sentiasa mendapat bekalan.

“Kita juga memberi fokus kepada kawasan berkepadatan penduduk tinggi seperti kampung dan taman perumahan, dengan setiap zon akan diselaraskan oleh jabatan yang terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Wisma Perbadanan Labuan.

Menurut Rithuan, JBA Labuan memaklumkan gangguan itu berlaku akibat kerosakan pam air mentah Fasa Dua di Loji Rawatan Air Lawa Gadong, Beaufort, Sabah.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan berharap penduduk menggunakan bekalan air dengan berhemah sehingga kerja pembaikan selesai.

Katanya, agensi yang terlibat termasuk Perbadanan Labuan (PL), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Labuan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Bekalan Air (JBA) Labuan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.