Pemilik bangunan diwajibkan lantik FSM, FSO mulai 1 April 2027

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad hadir ke Majlis Pelancaran FSM dan FSO di Menara Merdeka Maybank / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 6 Oktober 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan seramai 6,000 Pengurus Keselamatan Kebakaran (FSM) dan 18,000 Pegawai Keselamatan Kebakaran (FSO) akan dilantik di seluruh negara menjelang 2030 bagi memperkukuh memperkukuh aspek keselamatan kebakaran di premis berisiko.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan Seksyen 27A Akta Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 mewajibkan premis tertentu menubuhkan Organisasi Keselamatan Kebakaran.
  • Mulai 1 April 2027, bangunan yang diperiksa untuk pembaharuan Perakuan Bomba perlu mempunyai FSM, FSO dan organisasi lengkap.
  • Syarat baharu dijangka melibatkan lebih 9,000 bangunan termasuk bangunan berperenjis, kompleks beli-belah dan pejabat berskala besar.
  • Industri diberi tempoh persediaan antara enam hingga 18 bulan bergantung pada tarikh pemeriksaan dan tempoh sah Perakuan Bomba.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, pelantikan itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Seksyen 27A Akta Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 yang mewajibkan premis tertentu menubuhkan Organisasi Keselamatan Kebakaran.

“Setakat ini, seramai 498 individu telah dilantik sebelum kita menguatkuasakan perkara ini, merangkumi 174 FSM dan 324 FSO. Saya juga teruja apabila 21 daripada mereka, iaitu 17 FSO dan empat FSM yang mengikuti kursus awal ini, merupakan individu yang tidak bekerja dengan mana-mana bangunan.

“Ini menunjukkan mereka melihat bidang ini sebagai satu prospek dan peluang untuk mengukuhkan profil serta kemahiran mereka,” katanya selepas Majlis Pelancaran Pengurus Keselamatan Kebakaran (FSM) dan Pegawai Keselamatan Kebakaran (FSO) di Bilik Sampin 1 & 2, Aras 92 Menara 118 Kuala Lumpur, hari ini.

Jelas beliau, pelaksanaan program itu merupakan antara langkah bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan keselamatan kebakaran, khususnya bagi premis yang tertakluk kepada keperluan Perakuan Bomba.

Mengulas lanjut bermula 1 April 2027, bangunan yang diperiksa bagi tujuan pembaharuan Perakuan Bomba perlu mempunyai FSM, FSO dan organisasi keselamatan kebakaran yang lengkap.

“Jadi, pihak industri mempunyai tempoh persediaan antara enam bulan hingga 18 bulan, bergantung kepada tarikh pemeriksaan dan tempoh sah Perakuan Bomba premis masing-masing,” katanya

Jelasnya, syarat baharu itu dijangka melibatkan lebih 9,000 bangunan di seluruh negara yang dikategorikan di bawah Akta Perkhidmatan Bomba termasuk bangunan berperenjis (sprinkler) seperti kompleks beli-belah, bangunan pejabat dan premis berskala besar.

Sementara itu, pihak JBPM turut melaksanakan program penerangan dan latihan sebanyak 14 seminar bersama HRD Corp yang melibatkan seramai 9,674 peserta.

Selain itu, tujuh siri Hub Kemahiran Kebombaan pula melibatkan hampir 9,600 peserta yang dikenal pasti berpotensi untuk dilantik sebagai FSM dan FSO.

“Setakat ini kita mempunyai 13 penyedia latihan berdaftar dan kita sedang berusaha menambah bilangan penyedia latihan serta tenaga pengajar bagi memenuhi keperluan industri,” jelasnya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Nor Hisham berkata pelantikan FSM juga akan membantu mengurangkan kebergantungan kepada pemeriksaan tahunan oleh pihak bomba apabila laporan pematuhan keselamatan kebakaran boleh disediakan oleh pegawai yang bertauliah.

Beliau turut memaklumkan kelayakan yang diperoleh boleh digunakan sebagai kelebihan ketika memohon pekerjaan di premis yang memerlukan tenaga kerja dalam bidang keselamatan kebakaran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.