
KUANTAN, 6 Oktober – Sebuah vesel nelayan tempatan kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang kerana disyaki menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika dari pantai di perairan Tanjung Agas, semalam.
- Vesel dikesan mencurigakan sekitar pukul 10.30 malam semasa operasi Op Makmur, Op Mardof dan Op Tiris dijalankan.
- Enam kru warga Vietnam berumur 31 hingga 53 tahun disyaki melanggar syarat lesen mengikut Akta Perikanan 1985.
- Kru, vesel dan hasil laut kira-kira 100 kilogram diiring ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway untuk siasatan lanjut.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Datuk Mazlan Mat Rejab berkata, vesel itu ditahan kira-kira pukul 10.30 malam ketika operasi Op Makmur, Op Mardof dan Op Tiris dijalankan.
Katanya, vesel berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut mendapati ia sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan kira-kira 6.3 batu nautika tenggara Tanjung Agas.
“Kedudukan itu adalah kurang daripada had 12 batu nautika yang dibenarkan,” katanya.
Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan enam kru termasuk tekong, yang kesemuanya warga Vietnam berusia antara 31 hingga 53 tahun.
Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat lesen mengikut Akta Perikanan 1985.
Kesemua kru bersama vesel dan hasil laut seberat kira-kira 100 kilogram diiring ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.