
KUALA LUMPUR, 26 Mei – Prestasi perdagangan Malaysia yang melepasi paras RM1 trilion dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini membuktikan usaha berterusan kerajaan MADANI dalam memperkukuh ekonomi negara.
- Pelaburan meningkat menyokong pembukaan kilang, pengeluaran dan eksport, mengukuhkan ekonomi negara.
- Jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan mencatat paras tertinggi bagi Januari hingga April.
- Lebihan dagangan meningkat hampir dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.
- Pencapaian pelaburan tertinggi tiga tahun berturut-turut bukti kejayaan usaha kerajaan MADANI menarik pelaburan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin berkata, peningkatan itu selari dengan pertumbuhan pelaburan yang menyumbang kepada pembukaan lebih banyak kilang, peningkatan pengeluaran barangan dan pengukuhan aktiviti eksport negara.
“Peningkatan pelaburan membawa kepada lebih banyak pembinaan kilang, seterusnya meningkatkan pengeluaran barangan, memperkukuh eksport, mengukuhkan lebihan dagangan dan akhirnya menjana lebih banyak kekayaan untuk negara.
Ini merupakan hasil usaha berterusan Perdana Menteri dan kerajaan MADANI dalam memperkukuh ekonomi negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tambah beliau, pencapaian luar biasa itu turut menyaksikan jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan mencatat paras tertinggi pernah direkodkan bagi tempoh Januari hingga April.
Menurutnya, nilai eksport bagi tempoh tersebut mencecah RM609.31 bilion, manakala import berjumlah RM517.40 bilion.
Dalam masa sama, lebihan dagangan turut meningkat kepada RM91.92 bilion, iaitu hampir dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.
Jelas beliau, prestasi ini turut dipacu oleh usaha berterusan kerajaan dalam menarik pelaburan asing dan domestik ke Malaysia.
Ini dibuktikan dengan pencapaian pelaburan tertinggi dalam sejarah selama tiga tahun berturut-turut di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Secara keseluruhan, Malaysia berjaya memperoleh RM1.14 trilion pelaburan diluluskan sepanjang tempoh tersebut.
“Kebiasaannya, projek pelaburan memerlukan masa sebelum memberi impak penuh kepada ekonomi kerana melibatkan proses seperti pengambilan tanah, pembinaan kilang, pemasangan mesin, pengambilan pekerja dan permulaan operasi yang mengambil masa beberapa tahun sebelum hasilnya dapat dilihat,
“Kini, selepas tiga tahun usaha kerajaan MADANI, hasil pelaburan tersebut mula diterjemahkan kepada prestasi ekonomi yang memberangsangkan,” katanya lagi.
Sebelum ini, MITI memaklumkan, Malaysia telah mencatat pencapaian pelaburan tertinggi dalam sejarah selama tiga tahun berturut-turut, dengan RM329.5 bilion direkodkan pada 2023, RM384.4 bilion pada 2024, dan RM426.7 bilion pada 2025.