
BOURNEMOUTH, 20 Mei– Arsenal menamatkan penantian selama 22 tahun untuk bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Selasa (19 Mei), selepas pencabar terdekat, Manchester City sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Bournemouth, awal pagi tadi.
- Arsenal menamatkan kemarau trofi liga selepas tiga musim berturut-turut menjadi naib juara.
- City wajib menang untuk mengheret perebutan gelaran ke hari terakhir selepas Arsenal mendahului lima mata dengan kemenangan ke atas Burnley.
- Bournemouth menyambung rekod tanpa kalah kepada 17 perlawanan dan mengesahkan kelayakan ke pertandingan Eropah buat kali pertama.
- Laporan menyatakan Pep Guardiola mungkin meninggalkan Manchester City selepas dekad menguruskan pasukan.
Keputusan itu menyaksikan The Gunners kendalian Mikel Arteta menamatkan kemarau trofi liga selepas sekadar bergelar naib juara bagi tiga musim berturut-turut sebelum ini.
City wajib melakar kemenangan untuk mengheret perebutan takhta ke hari terakhir saingan selepas Arsenal mendahului lima mata menerusi kemenangan 1-0 ke atas Burnley pada Isnin.
Bagaimanapun, keputusan seri itu membolehkan Bournemouth melanjutkan rekod tanpa kalah kepada 17 perlawanan, sekali gus mengesahkan tiket ke kejohanan Eropah buat julung kali dalam sejarah kelab.
City sebelum itu dikejutkan dengan laporan pengurus mereka, Pep Guardiola bakal meninggalkan kelab pada penghujung musim selepas sedekad membimbing pasukan.
Walaupun baru sahaja melengkapkan kejuaraan berganda domestik menerusi kemenangan Piala FA menentang Chelsea pada Sabtu lalu, Guardiola sah gagal menambah koleksi enam gelaran EPL miliknya sebelum aksi terakhir menentang Aston Villa, Ahad ini.
Dalam aksi di Stadium Vitality, City yang bergelut dengan faktor keletihan bermula hambar walaupun jaringan awal Antoine Semenyo dibatalkan akibat ofsaid.
Tuan rumah mengejutkan skuad kendalian Guardiola pada minit ke-39 apabila pemain remaja, Eli Junior Kroupi melepaskan rembatan melengkung tepat ke penjuru atas gol untuk meletakkan Bournemouth di hadapan.
Memasuki babak kedua, City mensia-siakan peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan apabila percubaan Nico O’Reilly diselamatkan oleh Djordje Petrovic.
Bournemouth yang beraksi di bawah bimbingan Andoni Iraola bagi perlawanan terakhir di laman sendiri hampir menambah derita pelawat, namun percubaan Rayan dan David Brooks sekadar menggegar tiang gol.
Jaringan penyamaan Erling Haaland pada masa kecederaan nyata sudah terlambat untuk menyelamatkan impian kejuaraan City.
Bagaimanapun, keputusan seri itu amat penting buat Liverpool yang kini selesa dengan kelebihan tiga mata di atas Bournemouth menjelang pemburuan slot lima terbaik ke Liga Juara-Juara pada hari terakhir liga. -AFP