
KUALA LUMPUR, 16 Mei – Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) selesai meratifikasi Perjanjian Rangka Kerja Perkongsian dan kerjasama antara kedua-dua belah pihak (MEUPCA) 11 Mei lalu.
- Ratifikasi dilakukan selepas lengkap prosedur perundangan domestik mengikut peruntukan Artikel 58 dan 59 perjanjian.
- MEUPCA mewujudkan rangka institusi komprehensif untuk meluaskan kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, keselamatan, sains, teknologi dan tenaga hijau.
- Setakat ini 21 negara anggota EU menyelesaikan ratifikasi; perdagangan Malaysia-EU meningkat 4.2 peratus kepada RM228.04 bilion pada 2025.
Menurut kenyataan Wisma Putra, perjanjian tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kuala Lumpur dalam memperkukuh penglibatan strategik dengan salah satu blok ekonomi terbesar dunia.
Ratifikasi berkenaan dibuat selepas selesai pelaksanaan prosedur perundangan domestik yang diperlukan bagi penguatkuasaan perjanjian tersebut, selaras dengan peruntukan di bawah Artikel 58 dan 59 perjanjian itu.
Jelasnya, ratifikasi itu kemudian diiktiraf oleh Sekretariat Majlis Kesatuan Eropah susulan pemakluman rasmi Malaysia yang dikemukakan pada 8 Mei lalu.
”MEUPCA mewujudkan rangka kerja institusi yang komprehensif bagi memperluas kerjasama jangka panjang antara Malaysia dan EU.
”Ia merangkumi pelbagai bidang, termasuk perdagangan dan pelaburan, keselamatan, sains dan teknologi, teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, kesihatan, pendidikan, pengangkutan, pelancongan dan budaya,” jelas kementerian itu.
Menurutnya, MEUPCA dijangka meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berkualiti dan kerjasama ekonomi bernilai tinggi dalam sektor-sektor strategik.
MEUPCA yang ditandatangani di Brussels, Belgium pada 14 Disember 2022 akan mula berkuat kuasa selepas semua pihak melengkapkan prosedur ratifikasi domestik masing-masing.
Setakat ini, 21 negara anggota EU telah menyelesaikan proses berkenaan.
EU kekal sebagai antara rakan ekonomi utama Malaysia dengan jumlah dagangan antara Malaysia dan blok itu meningkat 4.2 peratus kepada RM228.04 bilion pada 2025 berbanding RM218.91 bilion pada 2024.