
KUALA LUMPUR, 15 Mei – Impian melihat sepak takraw dipertandingkan di pentas Olimpik terus menjadi agenda utama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam usaha mengangkat sukan tradisi itu ke tahap lebih tinggi.
- Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa berlangsung 16 hingga 23 Mei.
- Majlis pembukaan dihadiri Datuk Sumali Mohd Reduan dan Presiden ASTAF Datuk Abdul Halim Kader.
- Datuk Abdul Halim mencadangkan supaya sepak takraw dimasukkan ke dalam sukan Olimpik.
- Datuk Sumali dipuji sebagai 'Bapa Transformasi'; Stadium Titiwangsa diisytihar 'Home of Sepak Takraw' 23 Feb 2026.
Presiden MOM, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya bersama Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) akan terus memperjuangkan pengiktirafan sukan tersebut di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, usaha itu penting bagi membuka peluang kepada atlet muda Malaysia dan negara lain bersaing merebut pingat dalam acara sepak takraw di temasya Olimpik suatu hari nanti.

“Saya bersama Datuk Sumali Mohd Reduan (Presiden PSM) dan rakan-rakan di MOM akan terus berusaha sedaya upaya untuk memastikan suatu hari nanti anak-anak muda kita dari Malaysia dan negara lain akan berjuang dalam sukan sepak takraw di Olimpik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di sini hari ini.
Kejohanan Piala Dunia di Stadium Titiwangsa itu dijadual berlangsung dari 16 hingga 23 Mei ini.

Majlis pembukaan itu turut dihadiri Datuk Sumali serta Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) Datuk Abdul Halim Kader.
Kenyataan itu susulan cadangan Datuk Abdul Halim yang mencadangkan supaya sepak takraw dimasukkan ke dalam sukan Olimpik.
Sementara itu, Tan Sri Norza turut memuji kepimpinan Datuk Sumali yang disifatkan sebagai ‘Bapa Transformasi Sepak Takraw’ kerana berjaya memacu perubahan besar sukan itu sejak mengambil alih kepimpinan pada 2022.

“Antara pencapaian penting ialah pengisytiharan rasmi Stadium Titiwangsa sebagai ‘Home of Sepak Takraw’ pada 23 Feb 2026, hasil kerjasama rapat antara PSM dan Kerajaan Malaysia,” katanya.
Mengenai prestasi semasa skuad sepak takraw negara, beliau menyifatkan kejayaan meraih dua pingat emas pada Piala Dunia 2024 serta menewaskan Thailand pada Sukan SEA 2025 antara membuktikan perkembangan positif sukan itu di Malaysia.