Dominasi AI dalam dunia pemasaran, apa nasib pempengaruh manusia

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Pempengaruh AI tampil sempurna, boleh diprogram, dan menggantikan manusia dalam iklan tanpa risiko skandal.
  • Kelebihan manusia ialah ikatan emosi, akal, dan pengalaman hidup yang tidak mampu ditiru oleh mesin.
  • Pempengaruh manusia perlu berevolusi, menekankan integriti, kepakaran dan hubungan akrab dengan komuniti.
  • Dominasi AI mengundang isu etika dan manipulasi; manusia wajib menjadi benteng moral serta mengimbangi teknologi dengan nilai kemanusiaan.

Dunia pemasaran hari ini sedang melalui satu transisi besar yang tidak pernah terbayangkan sedekad yang lalu. Bidang pempengaruh kini berkembang pesat sebagai antara cabang ekonomi gig terbesar di Malaysia, sekali gus membuka peluang pekerjaan dan sumber pendapatan buat ribuan anak muda yang kreatif.

Jika dahulu pempengaruh hanya terdiri daripada selebriti, dan personaliti media sosial, kini muncul satu entiti baharu yang dikenali sebagai kecerdasan buatan atau AI. Kehadiran pempengaruh digital ini semakin mendapat tempat dalam dunia pemasaran moden.

AI mula bersaing secara terbuka dengan pempengaruh manusia dalam merebut perhatian pengguna. AI tidak lagi sekadar watak sampingan dalam filem sains fiksyen, tetapi sudah mula melangkah megah ke pentas utama dunia pengiklanan.

“Manusia Digital” dalam Dunia Pemasaran Moden

Banyak syarikat besar kini beralih kepada pempengaruh AI untuk mempromosikan produk, dan membina imej perniagaan. Entiti maya ini tampil persis manusia sebenar dengan wajah yang menawan, gaya hidup mewah serta keupayaan menghasilkan kandungan tanpa henti.

Lebih menarik lagi, setiap pergerakan AI boleh dikawal sepenuhnya tanpa risiko kontroversi mahupun skandal peribadi.

Pemasaran hari ini tidak lagi bergantung pada papan iklan di lebuh raya atau paparan di kaca televisyen. Kini, setiap saat di skrin telefon pintar dipenuhi kandungan yang berlangsung 24 jam sehari.

Dalam ruang digital inilah, AI memenuhi media sosial menerusi watak maya yang tercipta daripada barisan kod komputer.

Fenomena ini bukan lagi sekadar gimik teknologi semata-mata, tetapi cabaran nyata yang merubah landskap pemasaran moden. Persoalannya, apakah yang bakal terjadi pada nasib pempengaruh manusia, andai perhatian pengguna mula didominasi sepenuhnya oleh AI?

AI dan “Kesempurnaan” yang Diprogramkan

Dari sudut pemasaran, kehadiran pempengaruh AI dilihat sebagai solusi kepada “risiko manusiawi”.

Sebagai insan biasa, kita sememangnya tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan, begitu jugalah pempengaruh manusia, satu keterlanjuran kata sudah memadai untuk menjejaskan reputasi syarikat dalam sekelip mata.

Sebaliknya, pempengaruh AI tidak mungkin terjerat dengan isu kontroversi mahupun sensasi kerana mereka tidak mempunyai hati dan emosi. AI juga tidak kenal erti penat, tidak ada masalah peribadi, dan bebas daripada skandal yang memalukan.

Daripada tutur bicara, gaya penampilan hingga kepada corak kehidupan, AI boleh diprogramkan untuk sentiasa kelihatan sempurna di mata pengguna. Ai seolah-olah menjadi “duta ideal” yang tampil tanpa cacat cela.

Inilah cabaran terbesar pempengaruh manusia. Mereka terpaksa bersaing dengan ‘kesempurnaan’ yang dicipta oleh algoritma.

Hakikatnya, manusia perlu kembali memahami fitrah sebenar penciptaan insan. Allah SWT berfirman dalam Surah At-Tin, ayat 4, “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.”

Ayat ini mengingatkan kita bahawa kesempurnaan manusia bukan terletak pada rupa semata-mata, tetapi pada akal, jiwa dan hati nurani yang mustahil dimiliki oleh AI.

Hubungan Emosi Menjadi Kekuatan Manusia

Walaupun AI mampu menghasilkan kandungan yang indah, namun mustahil untuk ia membina ikatan emosi yang tulus. Bagaimana mungkin sebuah mesin berbicara tentang rasa suka dan kecewa, sedangkan ia sendiri tidak pernah merasai pahit getir kehidupan manusia?

Manusia mempunyai kelebihan mutlak iaitu akal fikiran. Kekuatan sebenar pempengaruh manusia terletak pada kemampuannya membina hubungan emosi secara harmoni. Cara penyampaian AI tidak mungkin sama dengan manusia apabila menyentuh soal hati, jiwa dan perasaan.

Teras pemasaran ialah kepercayaan yang dibina melalui pengalaman hidup yang dikongsi bersama. Justeru, pempengaruh manusia yang hanya berpaksikan populariti mungkin sukar untuk bertahan lama dalam dunia pemasaran digital.

Sebaliknya, mereka yang memiliki integriti, hubungan akrab dengan komuniti serta identiti yang ikhlas, akan terus mendapat tempat dalam hati masyarakat.

Pempengaruh Manusia Perlu Berevolusi

Kebangkitan AI memaksa pempengaruh manusia berubah. Mereka tidak lagi boleh sekadar menjadi “wajah iklan” yang hanya membaca skrip tanpa jiwa.

Kemunculan teknologi AI bukanlah penghalang kerjaya, sebaliknya, sebuah “loceng amaran” agar manusia kembali membina identiti yang lebih bernilai dan bermakna.

Dunia pemasaran kini tidak lagi sekadar memandang wajah yang cantik atau kandungan yang tular, sebaliknya, nilai kepakaran, ilmu, dan kredibilti kini menjadi ukuran utama dalam membina hubungan emosi yang berkualiti dengan masyarakat.

Cabaran Etika Pemasaran dalam Era AI

Apabila AI mendominasi dunia digital, isu etika menjadi cabaran besar. Algoritma yang dibina demi memburu perhatian pengguna dan memaksimumkan jualan, berisiko menukar dunia pemasaran menjadi ruang manipulasi psikologi yang berbahaya.

Di sinilah peranan pempengaruh manusia muncul sebagai benteng moral yang utama.

Dengan akal fikiran yang waras, manusia mampu membezakan antara yang hak mahupun yang batil. Ingatlah bahawa teknologi hanyalah sekadar alat, manakala akhlak berperanan sebagai jurupandu yang menentukan bagaimana alat itu dikendalikan.

Jika manusia mengabaikan etika demi mengejar algoritma dan kemasyhuran, maka pada saat itulah kita tewas kepada teknologi ciptaan kita sendiri.

Masa Depan Pempengaruh Manusia

Persaingan antara pempengaruh AI dan manusia kini membentuk landskap baharu pemasaran moden. Pemenang sebenar bukanlah pemilik teknologi tercanggih, tetapi mereka yang bijak mengimbangi kemajuan tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan yang menjadi nadi dalam setiap perhubungan.

Dominasi AI harus menjadi peringatan agar manusia kembali kepada fitrah. Nasib pempengaruh manusia kini bergantung pada keberanian mereka untuk mengekalkan sentuhan manusiawi; kerana pada masa hadapan, empati, dan keikhlasan akan menjadi aset yang paling mahal nilainya.

AI mungkin mampu memproses jutaan data dalam sesaat, tetapi ia tidak akan pernah mampu menitiskan air mata keikhlasan atau merasai getaran ukhuwah antara dua jiwa. Akhir kata, janganlah kita gentar dengan dominasi teknologi, tetapi takutlah jika kita kehilangan jati diri dalam mengejar kemasyhuran duniawi.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Suhaily Md Shamsudin
Pensyarah
Jabatan Pengurusan dan Perniagaan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
E-mel: suhaily@uis.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.