Desak kuota minyak tinggi : Iraq ugut tarik diri daripada OPEC

Foto REUTERS

BAGHDAD, 25 Jun – Pasaran tenaga global kembali tidak menentu susulan tindakan Iraq mengancam untuk keluar daripada OPEC bagi menuntut kuota pengeluaran minyak yang lebih tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Minyak: formula kuota tidak realistik selepas infrastruktur rosak akibat serangan dron dan sekatan maritim.
  • Menuntut OPEC menyemak dasar pengeluaran supaya pengedaran kuota disesuaikan dengan kapasiti mampan setiap negara anggota.
  • Jurucakap Salim al-Rikabi mengugut menarik diri jika tuntutan tidak dipenuhi, sementara kehilangan UAE baru-baru ini menambah tekanan pada OPEC.

Iraq menegaskan bahawa formula kuota sedia ada tidak lagi realistik selepas infrastruktur minyak mereka musnah akibat serangan dron dan sekatan maritim ketika konflik Asia Barat baru-baru ini.

Desakan tersebut dibuat oleh Kementerian Minyak Iraq pada Khamis, yang menuntut agar organisasi berkenaan menyemak semula dasar pengeluaran bagi membolehkan pengedaran kuota disesuaikan dengan kapasiti mampan sebenar negara anggota.

Sebelum konflik meletus, Iraq mampu menghasilkan sekitar empat juta tong sehari dan mengeksport purata 3.5 juta tong sehari.

Bagaimanapun, pascaperjanjian damai antara Washington dan Tehran baru-baru ini menyebabkan Baghdad meletakkan sasaran untuk memulihkan semula tahap pengeluaran asal tersebut dalam tempoh dua bulan akan datang demi menyelamatkan ekonominya.

Isu berkenaan bertukar menjadi polemik pasaran apabila jurucakap kementerian, Salim al-Rikabi, membayangkan kemungkinan menarik diri dari OPEC sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi.

“Kartel ini perlu menaikkan kuota pengeluaran Iraq. Jika tidak, satu keputusan terpaksa diambil sama ada untuk kekal atau meninggalkan organisasi ini,” katanya kepada AFP.

Amaran tersebut memberi tamparan hebat kepada OPEC yang baru sahaja kehilangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Mei lalu atas faktor kepentingan nasional. – AFP.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.