Isu tol di Selat Hormuz bakal cetus kekacauan maritim global – Setiausaha Negara AS

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio / AFP

MANAMA, 25 Jun – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio mengeluarkan amaran keras bahawa sebarang percubaan untuk mengenakan tol ke atas kapal dagang di Selat Hormuz bakal mencetuskan kekacauan terhadap sistem perdagangan maritim global.

RINGKASAN BERITA AI
  • IRGC mengulangi tuntutan kapal komersial perlu mendapat kebenaran Tehran sebelum melintasi Selat Hormuz.
  • Oman buka laluan perkapalan sementara bersama IMO, mencetuskan kemarahan Tehran.
  • Iran mendakwa hanya koridor sedia ada di bawah pengawasan ketat tenteranya sah.
  • MoU beri transit percuma 60 hari; pengurusan selepas tempoh itu samar dan AS menolak skim yuran maritim Tehran.

Kenyataan tersebut disampaikan oleh Rubio semasa mesyuarat Majlis Kerjasama Teluk (GCC) disini beberapa jam selepas pasukan elit Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mengulangi amaran bahawa mana-mana kapal komersial wajib mendapatkan kebenaran Tehran sebelum melintasi selat berkenaan.

Pertikaian terbaharu itu tercetus selepas Oman mengumumkan pembukaan laluan perkapalan sementara baharu yang menyusuri pesisir pantainya melalui penyelarasan dengan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) di bawah PBB.

Langkah Muscat itu menimbulkan kemarahan Iran yang mendakwa satu-satunya laluan sah yang dibenarkan adalah koridor sedia ada di bawah pengawasan ketat tentera Iran.

“Laluan air antarabangsa tidak dimiliki oleh mana-mana negara. Jika kita menerima tindakan mengenakan caj atas alasan kedudukan geografi, amalan ini akan merebak ke seluruh dunia seperti satu jangkitan penyakit,” tegas Rubio.

Isu hak pelayaran di Selat Hormuz iaitu laluan strategik yang mengendalikan 20 peratus bekalan minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) dunia kekal menjadi penghalang terbesar dalam rundingan damai bagi menamatkan perang antara AS dan Iran.

Meskipun memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani minggu lalu memberi kelonggaran transit percuma selama 60 hari, masa depan pengurusan selat berkenaan selepas tempoh tersebut masih samar.

Pihak Tehran sebelum ini menegaskan mahu melancarkan skim “yuran perkhidmatan maritim”, satu langkah yang ditolak oleh Washington.

Rubio berkata bahawa AS sememangnya mahukan penyelesaian damai jangka panjang bagi menamatkan konflik bersenjata berkenaan, namun tidak sesekali mengorbankan prinsip demi keamanan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.