Onley tarik diri Tour de France 2026

Pelumba Scotland, Oscar Onley terpaksa melupakan hasrat beraksi dalam Tour de France 2026 selepas mengalami kecederaan bahu / foto netcompanyineos.com

PARIS, 25 Jun – Pelumba Scotland, Oscar Onley terpaksa melupakan hasrat beraksi dalam Tour de France 2026 selepas mengalami kecederaan bahu akibat kemalangan ketika perlumbaan Tour Auvergne-Rhone-Alpes.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan perubatan mengesahkan Onley mengalami kecederaan bahu serius, menyebabkan dia menarik diri dari perlumbaan.
  • Onley kecewa tetapi fokus pada pemulihan dan bermotivasi untuk mencari keputusan positif musim ini.
  • Wout van Aert turut tidak beraksi kerana kecederaan siku; Tour de France 2026 bermula 4 Julai dengan ujian masa berpasukan di Barcelona.

Menurut pasukannya, Netcompany-Ineos, pelumba berusia 23 tahun itu, yang menamatkan Tour de France tahun lalu di kedudukan keempat keseluruhan, terjatuh ketika saingan peringkat keenam perlumbaan berkenaan di tenggara Perancis awal bulan ini.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, pasukan Netcompany-Ineos memaklumkan pemeriksaan perubatan lanjut mengesahkan Onley mengalami kecederaan bahu yang serius.

“Pemeriksaan perubatan lanjut mengesahkan kecederaan bahu yang signifikan. Malangnya, keadaan itu menyebabkan Onley tidak dapat mengambil bahagian dalam Tour de France tahun ini,” menurut kenyataan tersebut.

Onley mengakui kecewa kerana terpaksa menarik diri daripada perlumbaan berbasikal paling berprestij di dunia itu.

“Saya amat kecewa kerana terlepas peluang beraksi di Tour de France. Fokus saya sekarang adalah untuk menjalani proses pemulihan dan memastikan bahu saya kembali pulih sepenuhnya.

“Bagaimanapun, saya tetap bermotivasi untuk memastikan musim ini masih dapat memberikan sesuatu yang positif,” katanya.

Sementara itu, pelumba Belgium, Wout van Aert turut disahkan tidak akan beraksi dalam Tour de France selepas mengalami kecederaan siku dalam perlumbaan yang sama.

Tour de France 2026 dijadual bermula pada 4 Julai dengan acara ujian masa berpasukan di Barcelona, Sepanyol. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.