13 Mei 1969: Ambil ikhtibar, generasi baharu harus lebih matang

Foto hiasan/BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertahankan keamanan melalui kebijaksanaan, adab dan tanggungjawab; keamanan perlu dipelihara, bukan dianggap diwarisi.
  • Tolak politik kebencian: jangan guna sentimen kaum atau agama demi keuntungan politik jangka pendek.
  • Generasi muda mesti matang: didik dengan nilai kemanusiaan, hormati perbezaan dan berhenti menyebar kebencian digital.

Tanggal 13 Mei 1969 bukan sekadar angka dalam lembaran sejarah Malaysia. Ia ialah luka kolektif sebuah negara yang pernah terbakar akibat kebencian kaum, provokasi politik dan kegagalan manusia mengawal emosi serta prasangka.

Peristiwa berdarah itu mengingatkan rakyat Malaysia bahawa keamanan bukan sesuatu yang kekal secara automatik, tetapi sesuatu yang mesti dipelihara dengan kebijaksanaan, keadaban dan rasa tanggungjawab.

Menurut angka rasmi kerajaan, sekurang-kurangnya 196 orang terkorban, 439 cedera dan lebih 6,000 kehilangan tempat tinggal akibat rusuhan kaum tersebut. Namun, di sebalik angka itu tersembunyi trauma yang lebih besar, ketakutan, kehilangan kepercayaan dan keretakan hubungan antara masyarakat.

Banyak rumah dibakar, premis dimusnahkan dan kehidupan manusia berubah dalam sekelip mata. Sejarah menunjukkan bahawa sesebuah negara tidak semestinya runtuh kerana serangan musuh dari luar, tetapi boleh hancur kerana api kebencian yang dinyalakan oleh tangan sendiri.

Ironinya, lebih lima dekad selepas tragedi itu, masih ada pihak yang gemar bermain dengan sentimen kaum dan agama demi keuntungan politik jangka pendek. Ada yang menjadikan isu perkauman sebagai “modal murah” untuk meraih sokongan, seolah-olah keamanan negara hanyalah alat tawar-menawar dalam percaturan kuasa.

Mereka lupa bahawa lidah yang tidak dikawal mampu menjadi lebih tajam daripada senjata. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, ucapan yang menghasut ibarat mencurah minyak ke bara yang masih belum benar-benar padam. Maka benarlah bidalan Melayu: “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.”

Sayangnya, dalam dunia politik hari ini, ada yang sanggup “membakar hutan” hanya kerana mahu menghalau seekor musang. Demi menumbangkan lawan politik, sentimen kaum ditiup tanpa rasa tanggungjawab.

Musuh politik tidak lagi dikritik atas dasar polisi atau idea, tetapi dilabel mengikut kaum, agama dan identiti etnik. Politik akhirnya berubah menjadi pentas kebencian, bukannya medan perbahasan matang untuk membina negara.

Lebih membimbangkan, budaya ini semakin menular dalam media sosial. Kajian Digital 2025 Malaysia menunjukkan rakyat Malaysia menghabiskan lebih lapan jam sehari di internet dan hampir keseluruhan pengguna aktif menggunakan media sosial.

Dalam ruang digital inilah kebencian paling mudah dipasarkan. Ada yang menjadi “wira papan kekunci”, kononnya pejuang bangsa dan agama, tetapi hakikatnya hanya menyemarakkan permusuhan sesama rakyat. Mereka memetik agama untuk menghina, menggunakan kaum untuk memecahbelahkan dan menyebarkan fitnah atas nama perjuangan.

Padahal Islam sejak awal menolak budaya kebencian kaum dan ketaksuban sempit. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 13:

“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.”

Ayat ini sangat jelas: bahawa kepelbagaian bangsa bukan alasan untuk bermusuhan, tetapi peluang untuk saling mengenali dan membina kemanusiaan. Malangnya, masih ada yang membaca al-Quran tetapi gagal memahami roh kemanusiaannya.

Mereka begitu lantang bercakap tentang bangsa dan agama, tetapi diam apabila manusia dihina, diprovokasi dan diperlakukan secara tidak adil.

Hakikatnya, orang yang benar-benar cintakan agama tidak akan menjadikan agama sebagai alat menyuburkan kebencian. Orang yang benar-benar cintakan bangsa pula tidak akan mengajar bangsanya membenci manusia lain.

Nasionalisme tanpa akhlak akhirnya berubah menjadi fanatisme, manakala politik tanpa moral akan melahirkan masyarakat yang hidup dalam ketakutan dan prasangka.

Rasulullah SAW sendiri membina masyarakat Madinah atas asas keamanan dan hidup bersama. Kota Madinah ketika itu dihuni oleh pelbagai kelompok; Muhajirin, Ansar, Yahudi dan masyarakat bukan Islam lain.

Namun Baginda tidak membina masyarakat melalui kebencian identiti, sebaliknya melalui Piagam Madinah yang menekankan tanggungjawab bersama mempertahankan keamanan.

Sebab itu Rasulullah SAW bersabda: “Sebarkanlah salam sesama kamu.” Riwayat Muslim

Hadis ini bukan sekadar anjuran memberi salam, tetapi seruan menyebarkan keamanan. Dalam masyarakat majmuk, “menyebarkan salam” bermaksud menyebarkan rasa aman melalui pertuturan, tindakan dan sikap.

Orang yang benar-benar memahami hadis ini tidak akan mudah mencaci kaum lain, menghina agama orang lain atau menyebarkan fitnah demi kepentingan politik.

Malangnya, sebahagian masyarakat hari ini lebih gemar menyebarkan kebencian daripada keamanan. Media sosial menjadi medan menghukum dan memaki. Setiap isu dilihat melalui lensa kaum dan politik.

Jika seseorang berbeza pandangan politik, maka dia dianggap musuh bangsa. Jika berbeza pandangan agama, dia terus dilabel pengkhianat. Akhirnya, masyarakat hidup dalam budaya “kami lawan mereka”, sedangkan negara ini dibina atas asas hidup bersama.

Lebih menyedihkan, ada golongan muda yang mula melihat penghinaan kaum sebagai hiburan digital. Meme perkauman, sindiran etnik dan ejekan agama dikongsi tanpa rasa bersalah.

Mereka mungkin tidak pernah merasai ketakutan 13 Mei, tetapi mereka sedang bermain dengan api sejarah yang pernah hampir memusnahkan negara. Benarlah kata pepatah: “Api kecil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan.”

Kebencian kaum jarang bermula dengan senjata. Ia bermula dengan kata-kata, stereotaip dan penghinaan yang dianggap remeh. Lama-kelamaan, kebencian itu menjadi normal dalam masyarakat. Apabila manusia sudah hilang rasa hormat antara satu sama lain, maka keamanan hanya tinggal slogan.

Dalam konteks ini, generasi muda mempunyai tanggungjawab besar untuk memutuskan rantaian kebencian tersebut. Mereka perlu dididik bahawa perbezaan pandangan politik tidak boleh menghapuskan adab dan kemanusiaan.

Demokrasi tidak bermaksud memusuhi orang yang berbeza parti. Politik sepatutnya menjadi ruang persaingan idea, bukannya pertandingan siapa paling kuat meniup sentimen perkauman.

Malaysia hari ini sebenarnya sangat bertuah kerana masih mampu mengekalkan kestabilan sosial dalam masyarakat yang pelbagai. Dengan lebih 34 juta penduduk terdiri daripada pelbagai etnik dan agama, keamanan negara ini ialah sesuatu yang sangat bernilai.

Banyak negara di dunia gagal mengurus kepelbagaian lalu tenggelam dalam perang saudara dan konflik etnik yang panjang. Sebab itu rakyat Malaysia tidak boleh mengambil mudah soal perpaduan.

Peranan pendidikan juga amat penting. Sekolah dan universiti tidak boleh sekadar melahirkan pelajar cemerlang akademik tetapi miskin nilai kemanusiaan.

Pendidikan mesti membentuk generasi yang mampu berdialog, menghormati perbezaan dan berfikir secara matang. Jika tidak, negara mungkin memiliki ramai graduan, tetapi kehilangan masyarakat yang beradab.

Selain itu, media dan ahli politik juga perlu lebih bertanggungjawab. Jangan kerana mahu beberapa undi tambahan, masyarakat dipisahkan dengan retorik kebencian. Jangan kerana mahu menjadi “hero kaum”, negara dijadikan mangsa.

Sejarah membuktikan bahawa ahli politik datang dan pergi, tetapi rakyat biasa yang akan menanggung kesan permusuhan dan konflik.

Jelas, tragedi 13 Mei mengajar bahawa keamanan tidak boleh dipertahankan dengan slogan kosong semata-mata. Ia memerlukan kejujuran, keadilan dan keberanian moral untuk menolak politik kebencian.

Rakyat Malaysia mesti belajar bahawa berbeza pandangan tidak bererti bermusuhan, dan berbeza kaum tidak bererti perlu saling curiga.

Sebagaimana diajarkan oleh al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, manusia yang paling mulia bukanlah yang paling kuat menghina orang lain, tetapi yang paling bertakwa dan paling banyak membawa keamanan kepada masyarakat.

Dalam dunia yang semakin dipenuhi kebencian digital dan polarisasi politik, menyebarkan keamanan hari ini mungkin menjadi satu bentuk jihad sosial yang paling penting.

Malaysia tidak memerlukan lebih ramai “peniaga kebencian” yang hidup dengan memecahbelahkan rakyat, sebaliknya memerlukan generasi yang cukup matang untuk memahami bahawa negara ini hanya akan kekal aman apabila rakyatnya belajar menghormati satu sama lain, walaupun berbeza bangsa, agama dan pandangan politik.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Nik Mohd Zaim Ab Rahim
Penolong Pengarah / Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Teknologi Malaysia Kampus Kuala Lumpur
E-mel: nmzaim.kl@utm.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.