Tiga rumah musnah dalam kebakaran, seorang lelaki melecur

Tiga buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Lubok Setol, Rantau Panjang

RANTAU PANJANG, 14 Jun – Seorang lelaki melecur di kaki dalam satu kebakaran yang memusnahkan tiga buah rumah di Kampung Lubok Setol, Rantau Panjang, Kelantan, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak bomba menerima laporan kecemasan melalui talian 999 pada pukul 11.51 malam.
  • Sepasukan 23 pegawai dan anggota dari BBP Rantau Panjang, Pasir Mas dan Kemahang Tanah Merah dengan lima jentera dikerahkan.
  • Surau terjejas sekitar 10 peratus, sebuah kereta terbakar sepenuhnya, api dikawal pada 1.04 pagi menggunakan dua aliran dan teknik breaching.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Mohd Razali Che Mohd Noor dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima laporan kejadian itu menerusi talian kecemasan 999 pada pukul 11.51 malam.

“Sepasukan terdiri daripada 23 pegawai dan anggota dari BBP Rantau Panjang, Pasir Mas dan Kemahang Tanah Merah turut dibantu lima jentera bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, kebakaran melibatkan tiga buah rumah separuh kekal yang musnah sepenuhnya. Turut terjejas sebuah surau dengan kemusnahan 10 peratus dan sebuah kereta terbakar sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian itu, salah seorang penghuni rumah, Muhammad Izuddin Che Razali, 31 tahun melecur 20 peratus pada bahagian kaki.

Pasukan bomba yang tiba beberapa minit selepas panggilan kecemasan menjalankan operasi pemadaman namun mangsa telah pun dibawa ke hospital Lati Pasir Mas Kelantan untuk menerima rawatan lanjut oleh pasukan perubatan.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Api berjaya dikawal pada pukul 1.04 pagi menggunakan dua aliran dan teknik breaching bagi mengelakkan kebakaran merebak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.