
ALOR SETAR, 14 Jun – Dua mayat lelaki ditemukan tersangkut pada sampah di permukaan Sungai Kedah berhampiran Titi Taman Persiaran Jeragan di sini pagi tadi.
- PGO JBPM menerima panggilan jam 8.45, mengarahkan sebuah jentera dan dua unit RIM dari BBP Alor Setar dan BBP Jalan Raja.
- Salah satu mayat dipercayai remaja lelaki berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang semalam; seorang lagi lelaki dewasa 46 tahun.
- Mayat lelaki dewasa tersangkut pada tumbuhan terapung berhampiran titi jambatan; mangsa kedua terapung kira-kira 100 meter berhampiran titi MADA.
- Mayat pertama dinaikkan menggunakan jengkaut selepas kebenaran polis; mayat kedua dibawa dengan bot aluminium, diserahkan kepada polis, operasi tamat 11.45 pagi.
Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.45 pagi dan dimaklumkan, terdapat satu mayat tersangkut pada sampah di permukaan sungai di lokasi kejadian.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah mengarahkan sebuah unit jentera dan dua unit RIM dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dan BBP Jalan Raja ke lokasi kejadian.
“Salah satu mayat ditemukan dipercayai remaja lelaki 16 yang dilaporkan hilang semalam manakala seorang lagi lelaki dewasa berusia 46 tahun,” menurut kenyataan itu.
Mayat lelaki dewasa tersebut ditemukan tersangkut pada tumbuhan yang terapung di permukaan sungai berhampiran titi jambatan.
Pada masa sama, orang awam turut menemukan seorang lagi mangsa yang terapung di permukaan sungai pada jarak 100 meter dari mangsa pertama iaitu berhampiran titi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda MADA .
Mayat pertama dibawa naik ke tebing menggunakan jengkaut setelah kebenaran pihak polis, manakala mayat kedua mangsa dibawa naik pihak bomba ke bot aluminium.
Kedua-dua mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat kira-kira 11.45 pagi.