
SAUDARA PENGARANG
- Pembelajaran kendiri membentuk sikap berdikari, mendorong pelajar menjadi proaktif, menyelesaikan masalah dan meningkatkan keyakinan diri.
- Kemahiran pengurusan masa membantu merancang jadual, mengelak menangguh kerja dan mengimbangi kehidupan akademik serta peribadi.
- Kejayaan pembelajaran kendiri memerlukan disiplin, motivasi berterusan, serta sokongan institusi dan kesedaran agama tentang pentingnya usaha dan masa.
Dalam era pendidikan tinggi yang semakin mencabar, pelajar universiti tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pensyarah sebagai sumber utama mendapatkan ilmu.
Pendekatan independent learning atau pembelajaran kendiri telah menjadi satu keperluan bagi melahirkan graduan yang berdaya saing, berfikiran kritis dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan dunia pekerjaan.
Melalui pembelajaran kendiri, pelajar diberi ruang untuk mengurus proses pembelajaran mereka sendiri, termasuk menetapkan matlamat, mencari sumber rujukan, serta menilai tahap pencapaian secara berterusan.
Salah satu manfaat utama pembelajaran kendiri ialah pembentukan sikap berdikari dalam kalangan pelajar.
Apabila pelajar mengambil tanggungjawab terhadap pembelajaran mereka sendiri, mereka akan lebih proaktif dalam mencari maklumat, menyelesaikan masalah, dan membuat keputusan dengan lebih bernas.
Sikap ini bukan sahaja membantu mereka mencapai kecemerlangan akademik, malah membina keyakinan diri serta kemahiran menyelesaikan cabaran yang amat diperlukan dalam kehidupan dan kerjaya.
Selain itu, pembelajaran kendiri turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kemahiran pengurusan masa atau time management.
Pelajar universiti sering berhadapan dengan pelbagai komitmen seperti tugasan, projek berkumpulan, peperiksaan, aktiviti kokurikulum dan tanggungjawab peribadi.
Oleh itu, mereka perlu merancang jadual pembelajaran secara sistematik bagi memastikan setiap tugasan dapat diselesaikan mengikut tempoh yang ditetapkan.
Kemahiran mengurus masa dengan berkesan membantu pelajar mengelakkan amalan menangguhkan kerja seterusnya akan membantu mengurangkan tekanan akademik mereka.
Pengurusan masa yang baik juga membolehkan pelajar memberi tumpuan kepada keutamaan yang lebih penting. Melalui perancangan yang teratur, mereka dapat mengimbangi kehidupan akademik dan peribadi dengan lebih baik.
Penggunaan alat digital seperti kalendar elektronik, aplikasi pengurusan tugasan dan peringatan automatik dapat membantu pelajar memantau kemajuan kerja serta meningkatkan produktiviti harian.
Bagaimanapun, kejayaan pembelajaran kendiri memerlukan disiplin yang tinggi dan motivasi yang berterusan. Pelajar perlu mempunyai komitmen untuk belajar secara konsisten tanpa bergantung kepada pemantauan berterusan daripada pensyarah.
Pada masa yang sama, institusi pengajian tinggi perlu menyediakan persekitaran pembelajaran yang menyokong, termasuk akses kepada sumber digital, platform e-pembelajaran dan bimbingan akademik yang mencukupi.
Dalam perspektif Islam, sikap berdikari dan pengurusan masa yang baik merupakan sebahagian daripada tuntutan agama. Allah SWT berfirman dalam Surah ar-Ra’d ayat 11:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
Ayat ini menegaskan bahawa perubahan dan kejayaan bermula daripada usaha individu itu sendiri.
Bagi pelajar universiti, pembelajaran kendiri merupakan manifestasi usaha untuk memperbaiki diri melalui pencarian ilmu, peningkatan kemahiran dan pembentukan disiplin diri.
Pelajar yang mengambil inisiatif untuk belajar secara berdikari akan lebih bersedia menghadapi cabaran akademik dan kehidupan selepas tamat pengajian.
Selain itu, Islam juga menekankan kepentingan menghargai masa. Allah SWT berfirman dalam Surah al-‘Asr ayat 1–3:
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, serta mereka yang saling berpesan dengan kebenaran dan saling berpesan dengan kesabaran.”
Ayat ini menunjukkan bahawa masa merupakan amanah yang sangat bernilai dan tidak boleh disia-siakan sama sekali.
Dalam konteks kehidupan pelajar, pengurusan masa yang efektif membolehkan mereka menyeimbangkan antara pembelajaran, ibadah, aktiviti kokurikulum dan kehidupan peribadi.
Dengan memanfaatkan masa secara bijak, pelajar bukan sahaja dapat mencapai kecemerlangan akademik, malah membentuk peribadi yang lebih berdisiplin, bertanggungjawab dan berdaya saing.
Kesimpulannya, pembelajaran kendiri merupakan pendekatan yang mampu memperkasakan sikap berdikari dan kemahiran pengurusan masa dalam kalangan pelajar universiti.
Dengan mengamalkan pembelajaran kendiri secara berkesan, pelajar bukan sahaja dapat meningkatkan prestasi akademik, malah membangunkan kemahiran insaniah yang penting untuk menghadapi cabaran masa depan.
Graduan yang mampu belajar secara berdikari dan mengurus masa dengan baik akan lebih bersedia untuk menjadi individu yang produktif, profesional dan berjaya dalam dunia yang sentiasa berubah.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Nadiah Ramlan
Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah
Universiti Sains Islam Malaysia