
KLUANG, 12 Mei– Program Ekonomi MADANI Angkatan Tentera Malaysia terus berjaya membantu komuniti di kem terlibat meningkatkan keupayaan menjana ekonomi masing-masing.
- Pemindahan ilmu dari universiti membimbing projek secara rapi untuk menjamin kelestariannya.
- Jaminan pembelian daripada pemborong meyakinkan pasaran, memastikan projek tidak terhenti dan ekosistem pemasaran kukuh.
- Lebih 1,000 peserta termasuk BAKAT; penyerahan cek RM10,150 hasil jualan madu kelulut menunjukkan hasil ekonomi.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sejak mula dilaksanakan secara berperingkat, setiap peserta berjaya menangani setiap projek yang dibangunkan dengan baik.
“Program-program yang dilaksanakan ini merupakan hasil daripada pemindahan ilmu oleh pihak universiti, di mana setiap projek dibimbing secara rapi bagi menjamin kelestariannya.”
“Malah, bagi produk tertentu, kita telah mewujudkan jaminan pembelian (buy-back guarantee) daripada pihak pemborong. Oleh itu, tiada sebab untuk projek ini terhenti separuh jalan kerana kita telah menyediakan ekosistem yang kukuh,” kata Datuk Seri Mohamed Khaled.
Menurutnya, program ekonomi madani mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti tentera termasuk Ahli Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT).
Ketika ini, lebih 1,000 peserta terlibat di dalam Projek Ekonomi MADANI ATM membabitkan penternakan kelulut dan halia bentung.
Datuk Seri Mohamed ditemui selepas Peluncuran Program Ekonomi MADANI ATM di Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja, 5 RAMD, Kem Batu 3, di sini, hari ini.
Turut berlangsung penyerahan cek bernilai RM10,150 kepada wakil BAKAT, hasil jualan berkelompok madu kelulut dari 17 kem seluruh negara.