Saluran diplomatik selesai isu peluru NSM

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

KLUANG, 12 Mei – Malaysia dan Norway akan mencari penyelesaian diplomatik berhubung pembatalan penghantaran peluru berpandu antikapal, Naval Strike Missile (NSM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia dan Norway akan mencari penyelesaian diplomatik terhadap pembatalan penghantaran peluru berpandu anti-kapal NSM.
  • Menteri Pertahanan akan bertemu rakan sejawat Norway di Singapura hujung bulan ini bagi membincangkan isu berkenaan.
  • Norway menyekat penghantaran NSM atas dasar baharu; peluru berpandu itu untuk projek LCS dan kapal KD Lekir serta KD Jebat.
  • Perbincangan perolehan pesawat tempur baharu hanya akan bermula sekitar 2030; TUDM kekal guna F/A-18 dan SU-30MKM hingga 2035.

Bagi tujuan itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau akan bertemu rakan sejawatannya dari negara tersebut di Singapura hujung bulan ini.

Menurut beliau, ketika ini Malaysia menggunakan saluran diplomatik bagi menangani isu berkenaan, termasuk komunikasi antara Perdana Menteri dan Menteri Luar kedua-dua negara.

“Saya akan bertemu dengan Menteri Pertahanan Norway bagi menyuarakan rasa terkejut Malaysia terhadap tindakan itu yang disifatkan tidak mencerminkan hubungan baik antara kedua-dua negara,” katanya, di sini.

Norway sebelum ini dilaporkan menyekat penghantaran peluru berpandu antikapal NSM keluaran Kongsberg Defence and Aerospace susulan perubahan dasar baharu negara tersebut.

Peluru berpandu itu sepatutnya dihantar Mac lalu bagi kegunaan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) serta kapal KD Lekir dan KD Jebat milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Mengulas pembelian pesawat tempur baharu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Datuk Seri Mohamed Khaled memaklumkan, perbincangan mengenainya hanya akan dimulakan sekitar tahun 2030.

Beliau berkata, TUDM kekal menggunakan pesawat tempur F/A-18 Hornet dan Sukhoi SU-30MKM sehingga 2035 sebelum sebarang keputusan berkaitan perolehan aset baharu dibuat.