Malaysia, China bangunkan industri masa hadapan, TVET jadi barisan hadapan kesediaan

Perkukuh rantaian nilai serantau, sokong transformasi industri ASEAN dan wujudkan kerjasama yang baik bukan sahaja untuk Malaysia dan China, tetapi juga untuk masa hadapan yang bermakna di rantau ini, menurut Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Malaysia dan China akan memperkukuh kerjasama untuk membangunkan bersama industri masa hadapan, dengan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi barisan hadapan kesiapsiagaan Malaysia untuk ekonomi masa hadapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Utamakan kerjasama dalam mobiliti elektrik, teknologi bateri, tenaga boleh baharu, pembuatan pintar, sistem digital dan pembangunan bakat.
  • Perkukuh TVET sebagai barisan hadapan untuk sokong pembuatan maju, ekonomi digital, teknologi hijau dan industri peralihan tenaga.
  • Sasarkan 700,000 pekerjaan pembuatan, 500,000 pekerjaan ekonomi digital, peningkatan bahagian pasaran EV dan kapasiti tenaga boleh baharu.
  • Perkukuh rantaian nilai serantau, sokong transformasi industri ASEAN, cipta pekerjaan bernilai tinggi dan bina keupayaan industri untuk ekonomi baharu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kedua-dua negara perlu melangkaui perdagangan tradisional, mengenal pasti mobiliti elektrik, teknologi bateri, tenaga boleh baharu, pembuatan pintar, sistem digital dan pembangunan bakat sebagai bidang utama kerjasama.

“Malaysia mempunyai kedudukan geografi strategik, asas perindustrian yang semakin berkembang dan tenaga kerja muda yang boleh dilatih. China pula mempunyai kekuatan teknologi, skala industri dan kepimpinan yang terbukti dalam industri tenaga baharu.

“Bersama-sama, kita boleh membina lebih sekadar kejayaan dua hala. Kita dapat memperkukuh rantaian nilai serantau, menyokong transformasi industri ASEAN dan mewujudkan kerjasama yang baik bukan sahaja untuk Malaysia dan China, tetapi juga untuk masa hadapan yang bermakna di rantau ini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Malaysia–China mengenai Kenderaan Elektrik (EV), Bateri serta Pembangunan dan Inovasi Bakat Tenaga Baharu (MCEF 2026) di Asia School of Business di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara, berkata Malaysia menyasarkan pasaran EV merangkumi 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri automotif negara menjelang 2030 dan meningkat kepada 80 peratus pada 2050.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan Malaysia kini menyasarkan 700,000 pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan.

“Malaysia sedang memperkukuh TVET bagi menyokong sektor pertumbuhan tinggi, khususnya pembuatan maju, ekonomi digital, teknologi hijau dan industri peralihan tenaga. Kami juga menyasarkan penciptaan 700,000 pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan serta 500,000 pekerjaan dalam ekonomi digital,” katanya.

Selain itu katanya, Malaysia turut menyasarkan kapasiti tenaga boleh baharu sebanyak 70 peratus menjelang 2050 menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Jelas Datuk Seri Dr. Ahamad Zahid, agenda tersebut bukan sekadar berkaitan mobiliti hijau, tetapi turut melibatkan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, pengukuhan keupayaan industri dan persediaan rakyat menghadapi ekonomi baharu.##