
KUALA LUMPUR, 12 Mei – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan meluluskan kebenaran merancang pembangunan di kawasan takungan air di kawasan Jinjang dan Batu.
- DBKL tidak akan meluluskan kebenaran merancang tanpa pematuhan syarat JPS bagi kawasan kolam takungan banjir.
- Tujuan arahan itu untuk memastikan fungsi asal kolam dan akses penyelenggaraan dapat dikekalkan.
- Penilaian JPS mendapati kira-kira 70 peratus keluasan kolam telah dibangunkan, menjejaskan fungsi asal.
- Pasukan petugas khas ditubuhkan untuk menyelaras tindakan mitigasi banjir bersama DBKL, JPS, kerajaan Selangor dan agensi lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, perkara itu susulan kapasiti kolam takungan banjir di Kuala Lumpur dianggarkan berbaki 30 peratus daripada keluasan asal selepas sebahagian besar kawasan diserah milik untuk pembangunan sejak 2015.
“DBKL tidak akan meluluskan kebenaran merancang bagi sebarang permohonan pembangunan di kawasan kolam takungan banjir selagi syarat-syarat pembangunan yang ditetapkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak dipatuhi.
“Ini bagi memastikan fungsi asal kolam serta akses penyelenggaraan dapat dikekalkan,” katanya dalam sidang media di Menara DBKL di ibu negara hari ini.
Sidang media berkenaan turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dan dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.
Menerusi penilaian teknikal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendapati kira-kira 70 peratus keluasan kapasiti kolam takungan telah dibangunkan sehingga menjejaskan fungsi asal kolam berkenaan.
Kapasiti asal kawasan bagi 17 lot tanah terbabit ialah 114.5 hektar namun kini hanya tinggal 34.35 hektar selepas sebahagian besar kawasan diserah milik untuk pembangunan sejak 2015.
Situasi itu turut menyukarkan kerja penyelenggaraan kerana laluan untuk jentera memasuki kawasan kolam semakin terhad.
Dalam perkembangan sama, Hannah berkata sebuah pasukan petugas khas diwujudkan bagi menyelaras tindakan mitigasi banjir di Kuala Lumpur melibatkan kerjasama DBKL, JPS, kerajaan Selangor serta beberapa agensi berkaitan lain.