
KUALA LUMPUR, 10 Mei – Jangan cetus persepsi negatif terhadap usaha meminda akta Majlis Amanah Rakyat Mara (MARA).
- Pindaan akta akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh dua minggu.
- Tujuan pindaan adalah memperkukuh tatakelola dan memastikan hala tuju MARA selari dengan matlamat penubuhan asal.
- Keputusan pindaan dipersetujui oleh Ahli Majlis MARA selepas mesyuarat dan perbincangan bersama penasihat serta panel peguam.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut memberitahu pindaan tersebut dijangka akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh 2 minggu lagi.
Jelas beliau, pindaan tersebut bertujuan memperkukuh tatakelola serta memastikan hala tuju MARA kekal selari dengan matlamat asal penubuhannya.
“Penubuhan MARA yang dimulai dengan nama RIDA itu terus berada di landasannya. Akta ini dibuat supaya kita kembali kepada landasan asal dan menerusinya tatakelola pengurusan MARA kekal dan tidak berubah.
Kita mahu apabila Ketua Pengarah atau Pengerusi MARA dan Menteri yang menjaga MARA termasuk jika kerajaan bertukar, akta itu tetap digunakan bukan hanya sebagai panduan tetapi mesti dan wajib diikuti, itulah tujuannya,” kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid pada sidang media selepas Program Musyawarah Nasional di sini.
Jelas beliau, pindaan tersebut merupakan keputusan yang telah dipersetujui melalui mesyuarat Ahli-ahli Majlis MARA.
Langkah itu penting bagi memastikan asas penubuhan MARA yang lahir daripada Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran UMNO pada tahun 1965 tidak tersasar daripada matlamat asal.
“Beberapa siri mesyuarat telah diadakan bersama ahli-ahli majlis, penasihat serta panel peguam bagi meneliti secara terperinci aspek berkaitan pindaan akta tersebut,” jelas beliau lagi.