
BANGI, 10 Mei – Kerajaan dijangka memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya pada 18 Mei ini, sebelum dibentangkan pada sidang Parlimen Jun depan.
- Kerajaan sedang memperhalusi pelbagai pandangan, termasuk cadangan penglibatan Parlimen dalam proses pelantikan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
- Kerajaan mencari jalan tengah terbaik bagi memastikan keputusan selaras dengan peruntukan Perlembagaan.
- Keputusan akhir diharap menjadi ketetapan muktamad PSSC sebelum dibawa ke Parlimen; pihak pembangkang diharap hadir pada sesi akhir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pelbagai pandangan masih diperhalusi termasuk cadangan melibatkan Parlimen dalam proses pelantikan jawatan berkenaan.
Menurut beliau, kerajaan kini sedang mencari jalan tengah terbaik bagi memastikan keputusan yang dicapai selaras dengan peruntukan Perlembagaan.
“Pelbagai isu yang masih dibincangkan, dan berharap pertemuan pada 18 Mei ini dapat dimuktamadkan dengan mencapai jalan tengah terbaik dalam perkara berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Lbat Urus Kerangka Akauntabiliti MADANI 2026 di Akademi Perundangan Negara, di sini.
Tambah beliau, keputusan yang dicapai dalam perbincangan akhir itu diharap dapat menjadi ketetapan muktamad Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) sebelum dibawa ke Parlimen.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan beberapa wakil pembangkang tidak hadir dalam beberapa siri mesyuarat berkaitan RUU tersebut, namun berharap semua pihak dapat bersama dalam sesi akhir nanti.