Semua 3 mangsa letusan Gunung Dukono ditemukan, operasi SAR ditamatkan

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan/Foto ANTARA

JAKARTA, 10 Mei – Mayat ketiga-tiga pendaki, mangsa letusan Gunung Dukono di timur Indonesia telah ditemukan, sekali gus menamatkan secara rasmi operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Ahad, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua mangsa warga Singapura dan seorang warga Indonesia dikenal pasti, mayat dibawa ke Hospital Besar Wilayah Tobelo untuk pengecaman.
  • Selain tiga maut, 15 individu terselamat dilaporkan, membabitkan tujuh warga Singapura dan lapan penduduk tempatan.
  • Pentadbiran Halmahera Utara menutup laluan pendakian secara kekal dan melarang akses dalam radius empat kilometer dari kawah.

Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB, Abdul Muhari berkata dua mangsa terakhir yang merupakan warga Singapura ditemukan tidak jauh dari lokasi mayat mangsa pertama dijumpai pada Sabtu.

Beliau mengenal pasti kedua-dua mangsa sebagai H.W.Q.T., 30, dan S.M.B.A.H., 27, manakala mangsa pertama yang ditemukan sebelum ini merupakan warga Indonesia yang dikenali sebagai E.

“Mayat mangsa dibawa ke pos tindak balas kecemasan letusan Gunung Dukono sebelum dipindahkan ke Hospital Besar Wilayah Tobelo untuk proses pengecaman dan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Selain tiga mangsa yang maut, 15 individu lain terselamat dalam insiden yang berlaku pada awal pagi Jumaat itu, melibatkan tujuh warga Singapura dan lapan warga tempatan.

Abdul Muhari berkata proses pemindahan mangsa berdepan kesukaran berikutan debu dan material gunung berapi yang tebal, selain aktiviti letusan yang tidak menentu memaksa pasukan penyelamat bergerak berhati-hati bagi memastikan keselamatan petugas di lapangan.

Menurut beliau, seramai 98 anggota gabungan SAR dikerahkan dan dibahagikan kepada empat pasukan melibatkan Badan Nasional Mencari dan Menyelamat (Basarnas), Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Halmahera Utara, tentera dan polis Indonesia, Palang Merah Indonesia (PMI), Pasukan Tindak Balas Kecemasan Gosowong serta penduduk setempat.

Pentadbiran Halmahera Utara sebelum ini telah mengenakan larangan sepenuhnya terhadap aktiviti pendakian di Gunung Dukono bermula 17 April, yang kemudiannya diperkukuhkan melalui Dekri Bupati pada Jumaat untuk menutup laluan pendakian secara kekal.

Pihak berkuasa juga melarang penduduk dan pelancong daripada memasuki kawasan dalam radius empat kilometer dari kawah selaras dengan saranan Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia. – BERNAMA