JDT samai rekod dunia, pesta gol 14-1 ke atas Kelantan TRW

JDT membelasah Kelantan TRW 14-1 pada aksi terakhir Liga Super 2025/2026. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar sejarah baharu bola sepak negara apabila membelasah Kelantan The Real Warriors (TRW) 14-1 pada aksi terakhir Liga Super 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • JDT mencatat rekod tanpa kalah 108 perlawanan sejak 2021, menyamai rekod dunia ASEC Mimosas (1989-1994).
  • Bergson meledak enam gol dalam perlawanan itu dan melengkapkan 27 jaringan liga musim ini.
  • Manuel Hidalgo lengkapkan hatrik, selain menjadi perancang utama kepada beberapa gol rakan sepasukan.
  • Kemenangan mengukuhkan dominasi JDT dengan kejuaraan Liga Super kali ke-12 berturut-turut dan menamatkan musim tanpa kalah.

Kemenangan bergaya itu bukan sahaja menjadi kemenangan terbesar dalam sejarah Liga Super, malah menyaksikan skuad Harimau Selatan mencatat rekod tanpa kalah 108 perlawanan sejak musim 2021, sekali gus menyamai rekod dunia yang pernah dilakar kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas antara 1989 hingga 1994.

Skuad kendalian Xisco Munoz tampil garang apabila meledak lapan gol pada babak pertama sebelum menambah enam lagi jaringan pada separuh masa kedua.

Penyerang berbisa, Bergson Da Silva muncul bintang paling menyerlah di SSI apabila meledak enam gol bermula pada minit pertama, ke-11, ke-36, ke-41, ke-52 dan ke-83, sekali gus melengkapkan koleksi 27 jaringan liga musim ini.

Pemain sayap lincah, Manuel Hidalgo turut mencuri tumpuan apabila melengkapkan hatrik menerusi jaringan pada minit ke-16, ke-25 dan ke-62 selain menjadi perancang utama kepada beberapa gol rakan sepasukan.

Turut menyumbang gol buat JDT ialah Antonio Glauder (m-18), Stuart Wilkin (m-38), Yago Cesar (m-50), Mohamed Syamer Kutty Abba (m-85) dan Teto Martin (m-88).

Kelantan TRW yang dibimbing Zairul Fitree Ishak hanya mampu memperoleh gol saguhati menerusi Muhammad Farris Izdiham Awang Kechik pada minit ke-64.

Keputusan itu mengukuhkan lagi dominasi JDT yang menjulang trofi Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut selain menamatkan musim tanpa kalah.

Sementara itu, di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras menyaksikan Negeri Sembilan FC bangkit mengikat Kuala Lumpur City FC 2-2 dalam aksi penuh drama yang turut dicemari layangan kad merah.

Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan dengan tenang oleh kapten pasukan Ahmad Khuzaimi Piee pada minit ke-16.

KL City bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-25 menerusi Victor Ruiz Abril yang pantas menyambar bola muntah selepas sepakan penaltinya pada mulanya berjaya ditepis oleh penjaga gol, Muhammad Azri Abdul Ghani.

Tuan rumah terus melebarkan penguasaan pada minit ke-39 apabila Nicolao Manuel Dumitru Cardoso mudah menolak masuk hantaran tepat Victor untuk meletakkan KL City mendahului 2-1 sehingga tamat babak pertama.

Ketegangan mula memuncak pada minit ke-80 ekoran pelanggaran antara kapten KL City, Giancarlo Gallifuoco dan Joseph Esso yang menyaksikan penolong ketua jurulatih tuan rumah, Prijaca Edin dilayangkan kad merah ketika pengadil sedang melakukan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Semakan VAR itu kemudian mengesahkan sepakan penalti buat Negeri Sembilan FC yang berjaya disempurnakan oleh Aday Ali Abdulraheem Kharroub pada minit ke-81 untuk kembali mengikat kedudukan.

Drama terus berlanjutan pada minit ke-83 apabila ketua jurulatih KL City, Vidakovic Savic Risto pula dilayangkan kad merah kerana membantah beberapa keputusan pengadil dari tepi padang sebelum perlawanan berakhir tanpa sebarang tambahan jaringan daripada kedua-dua pasukan.- BERNAMA